Jana Wibawa: Pemimpin Bersatu bebas pertuduhan rasuah lepas bayar kompaun RM4.1 juta
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Adam Radlan daripada 12 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram berkait projek Jana Wibawa.
Menurut FMT, pembebasan itu selepas ahli politik tersebut membayar kompaun berjumlah RM4.1 juta pada Isnin.
Portal itu memetik timbalan pendakwa raya Farah Yasmin Salleh yang memaklumkan kepada Hakim Suzana Hussin bahawa pihak pendakwaan menerima surat representasi Adam, yang menawarkan untuk membayar kompaun di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amlatfapuaa).
“Tertuduh dalam kes ini sudah membuat pembayaran kompaun sebanyak RM4.1 juta pada Isnin lalu,” katanya.
Sebelum ini pada Februari 2023, Adam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta rasuah berbentuk wang tunai antara 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek pembinaan jalan bernilai RM47.8 juta daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat.
Dia juga dituduh menerima rasuah RM500,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek yang sama daripada kerajaan melalui rundingan terus.
Pada Februari tahun lalu, Adam menghadapi dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa.
BACA JUGA Nurul Izzah perjuang isu tambun tanah atas sawah, pertegas jangan dibiarkan