Setelah berpuluhan tahun menulis, Uthaya bikin dokumentari
Uthaya Sankar SB, pengarang Malaysia yang terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak 1992, kini mengorak langkah menghasilkan filem dokumentari pula.
Beliau yang lahir pada 1972 dan membesar di Lorong B, Aulong Lama, Taiping, Perak kembali ke tempat asalnya pada tahun lalu untuk menghasilkan sebuah filem dokumentari berjudul “Kenangan di Lorong B”.
Dokumentari sepanjang 35 minit ini menampilkan wawancara bersama sembilan penduduk dan bekas penduduk yang berkongsi pelbagai pengalaman, cerita, dan suasana di Lorong B pada tahun 1970-an dan 1980-an.
Sejak penglibatan awal dalam bidang penulisan, Uthaya sering menggunakan latar tempat Taiping dalam karya. Beliau juga menulis beberapa rencana berkaitan tempat kelahiran.
“Sejak keluarga saya berpindah keluar dari Taiping pada hujung 1991, kami masih sentiasa mengunjungi tetangga di Aulong Lama. Malah, Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) mengendalikan projek komuniti di sana dari 2016 hingga 2019 tetapi tergendala akibat Covid-19,” kata Uthaya yang mengasaskan Kavyan pada 1999.
Sejak Mei 2024, beliau terlibat mengendalikan program Temasya Bahasa anjuran Persatuan Kebajikan Idayakkani di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Daerah Larut, Matang dan Selama, Perak.
“Apabila mengunjungi salah seorang jiran pada Mei 2024, saya berpeluang mendengar kisah-kisah lama yang tidak diketahui generasi sekarang. Malah, Puan Janakee yang kini merupakan penduduk paling lama di Lorong B menghadapi masalah untuk mengingati pelbagai kisah yang berlaku pada masa lalu.
“Pada September 2024, saya menyertai Festival Filem Raintown yang mengetengahkan keunikan Taiping dan kawasan sekitar. Selepas itu, saya membuat keputusan mahu mendokumentasi kenangan penduduk di Lorong B dalam bentuk sebuah dokumentari,” katanya.
Penduduk sudi diwawancara
Menurut Uthaya, beliau segera menghubungi penduduk dan bekas penduduk yang sudi diwawancara.
“Wawancara dilakukan pada Oktober dan November 2024. Saya membiarkan mereka berkongsi apa-apa kisah, kenangan, dan pengalaman sepanjang mereka tinggal di Lorong B, Aulong Lama pada tahun 1970-an dan 1980-an.
“Rakaman dibuat menggunakan telefon bimbit dan tanpa sebarang peralatan canggih yang biasa digunakan dalam pembikinan filem dokumentari,” kata Uthaya yang mengambil masa dua minggu untuk menyunting keseluruhan video menggunakan komputer riba.
“Saya gembira kerana dapat mendokumentasi sebahagian kenangan penduduk Lorong B sebelum hilang daripada ingatan,” katanya.
Pengasas Festival Filem Raintown, Jacky Yeap yang juga berasal dari Taiping memuji usaha Uthaya mendokumentasi sejarah dan cerita penduduk terbabit.
“Kejayaan sebuah dokumentari bukan hanya dari segi kemahiran teknikal tetapi juga berkaitan niat dan tujuan. Dokumentari oleh Uthaya menyerlahkan kuasa penceritaan yang juga amat penting untuk merakam cerita, kenangan, dan sejarah rakyat,” ujarnya.
Filem dokumentari amatur “Kenangan di Lorong B” (Bahasa Tamil, sari kata Bahasa Malaysia) akan ditayangkan di Pawagam Paragon, Taiping Mall pada 13 September 2025 sempena Festival Filem Raintown.
Tiket percuma boleh ditempah di https://www.cloudjoi.com/shows/3682-film-talk-capturing-the-memories-of-aulong-lama