Apa nasib pengintip yang buat risikan di sini?
Para pengintip yang membuat aktiviti risikan di dalam negara akan dihantar pulang setelah menjalani hukuman bukannya ekstradisi meskipun ada kes di mana mereka diekstradisi.
Ini dijelaskan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa sesi jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.
“Kalau mereka jelas lakukan kesalahan, kita tangkap, siasat, kemuka ke muka pengadilan dan disabitkan kesalahan. Setelah selesai hukuman, kita deport,” kata Saifuddin ketika menjawab soalan Roy Angau Gingkoi( GPS-Lubok Antu)
Beliau turut menjelaskan perbezaan deport dengan ekstradisi.
“Ekstradisi melibatkan negara yang mempunyai perjanjian dengan Malaysia dan negara tersebut meminta agar individu tertentu dihantar dari sini ke sana.
“Kita perjanjian dengan 11 negara dan ada kes yang kita guna kaedah ekstradisi.
Menjawab soalan Khlir Md Nor (PN-Ketereh), Saifuddin mengakui bahawa kerajaan tidak mengetahui jumlah pengintip yang ada di Malaysia.
“Kalau tahu, mudah kerja kita. Yang kita tahu, dia buka kedutaan. Kita tak tahu kehadiran pengintip.”
“Pengintipan ialah potensi ancaman yang sangat serius. Mungkin kerana Tambun perjuang Gaza. Ada juga NGO yang perjuang isu tertentu di sini,” katanya merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seringkali mengangkat isu Palestin.
Terdahulu dalam jawapan asalnya, Saifuddin menjelaskan bahawa pengintipan dijalankan untuk tujuan politik, ekonomi dan ketenteraan.
Kaedah mendapatkan perisik pula ialah menerusi, habuan, ugutan dan ideologi.
Beliau turut merujuk kes Nida Rahayu Zainal yang dibicarakan kerana mengintip untuk Israel.
“Dia direkrut Israel untuk culik dua lelaki Palestin. Ini satu contoh politik. Dia warga tempatan kelulusan SPM saja.”
BACA JUGA: Tapak pelancaran roket di Sabah di mana?