Guru Pasti perlu dibayar gaji minimum RM1,700 sebulan
Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di bawah kendalian Pas perlu dibayar RM 1,700 sebulan iaitu kadar minimum gaji pokok yang sudah dikuatkuasakan sejak 1 Februari lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata pematuhan terhadap Perintah Gaji Minimum (PGM) tetap terpakai kepada guru Pasti yang berjumlah hampir 10,000 orang.
“Justeru itu, sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap PGM 2024, saya sarankan agar perkara ini dilaporkan kepada pihak JTK (Jabatan Tenaga Kerja) untuk siasatan,” katanya.
Steven berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat semalam.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang juga Ketua Pemuda Pas menegaskan bahawa bayaran yang diterima oleh guru Pasti adalah elaun sukarelawan, bukan gaji tetap.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian pula pernah dilapor berkata, Pasti sebagai ‘jihad pendidikan’ dan menghargai dedikasi guru yang terus memberi khidmat meskipun menerima elaun rendah.
Sementara itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menegaskan bahawa ramai yang memohon menjadi guru Pasti walaupun tahu elaun rendah, menunjukkan niat mereka berkhidmat dengan ketulusan hati.
Hashim juga berkata, guru Pasti hanya mengajar antara pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari, dan elaun dibayar berdasarkan kemampuan kewangan pihak Pasti.
BACA JUGA Sabah rekod 655,241 pemilih baharu, empat Parlimen ini catat jumlah pengundi tertinggi