Kemalangan maut pertama peserta Himpunan RXZ Members 7.0

Seorang peserta yang dalam perjalanan ke Himpunan RXZ Members 7.0 di Terengganu, maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Jalan Palong 8 di Bera.

Menurut Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, mangsa Mohd Syukri Shahrudin, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan tangan.

Difahamkan, ini kemalangan maut pertama membabitkan kumpulan konvoi ke himpunan bermotosikal itu hari ini.

“Apabila sampai di lokasi, mangsa yang sepatutnya membelok ke kanan di simpang tiga telah bergerak lurus tanpa membelok lalu melanggar tebing di bahu jalan.

“Akibatnya mangsa cedera di bahagian kepala, tangan kiri dan kanan,” katanya dalam kenyataan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bera untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikal ditunggang.

Beliau berkata, ketika kejadian keadaan jalan di lokasi lurus dengan dua hala laluan, berturap baik, permukaan rata, kering serta pencahayaan jelas pada waktu siang.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan menyertai Himpunan RXZ bersama konvoi membabitkan kira-kira 60 motosikal lain, dan dia antara peserta terawal yang berada di hadapan kumpulan itu.

BACA JUGA Tindakan menanti buat pegawai penyiasat, penyelia kes Zara Qairina jika…