KP UMNO nafi tuduhan timbulkan ketakutan, kegentaran awam

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan dalam laman sosial yang menimbulkan kegentaran dan keselamatan awam.

Akmal, 37, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu memohon kesnya dibicarakan ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Menurut pertuduhan, Akmal didakwa mengeluarkan kenyataan di laman sosial miliknya yang didakwa menimbulkan kegentaran awam kerana mendorong mana-mana individu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam, pada jam 3 petang, 11 Ogos lalu.

Kesalahan dilakukan bekas pegawai perubatan itu didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Nordin Ismail, manakala Akmal diwakili barisan peguam diketuai Aizat Azam.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000, tetapi Aizat memohon anak guamnya diberikan jaminan RM2,000.

Alasannya, Akmal perlu menyara seorang isteri serta dua anak yang masih kecil dan bersekolah selain perlu melaksanakan tugas rasminya sebagai wakil rakyat serta tugas EXCO di Melaka.

Mahkamah membenarkan Akmal diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 September depan untuk serahan dokumen.

BACA JUGA Akmal, mana suara pertahan presiden engkau, tanya bekas perajurit