Lagi penunggang RXZ maut, motosikal bertembung treler
Seorang lagi penunggang motosikal Yamaha RXZ dilaporkan maut ketika dalam perjalanan ke Himpunan RXZ Members 7.0 selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah treler di Gerik-Jeli.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman, berkata kejadian dipercayai berpunca apabila motosikal mangsa dari arah Gerik ke Jeli hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Mangsa kemudian melanggar bahagian kanan bampar treler jenis Volvo dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun,” katanya dalam kenyataan menurut Bernama.
Lelaki berkenaan, Roziman Abu Aziz, 36, dari Baling, Kedah, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Gerik akibat nahas kira-kira jam 9 pagi semalam itu.
Abdul Samad berkata, bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan dalaman pada abdomen akibat kemalangan.
Beliau berkata pemandu treler tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, media melaporkan sekurang-kurangnya terdapat tiga kemalangan maut yang berlaku.
Antaranya membabitkan seorang penunggang di Bera, Pahang berusia 33 tahun yang maut selepas motosikal ditungganginya terbabas dan terlanggar tebing di bahu jalan.
Dalam kejadian berasingan lain, seorang lagi penunggang maut selepas motosikal ditungganginya bergesel dengan sebuah motosikal lain lalu terbalik dan mangsa tercampak atas jalan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Bukit Besi.
Kejadian ketiga, sekitar jam 12 tengah hari, membabitkan seorang jururawat, berusia 33 tahun, dari Johor maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu terjatuh atas jalan raya yang menyebabkan mangsa cedera di kepala dan disahkan meninggal di tempat kejadian.
BACA JUGA Kemalangan maut pertama peserta Himpunan RXZ Members 7.0