Apa maksud Dr MAZA ucapan PMX bawa risiko kepadanya?

OLEH: Abd Rahim Rahman

Dr Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) tulis di Facebook (24 Ogos 2025):

Ucapan YAB PMX semalam tentang G4Z4 memang bersemangat dan berani. Keupayaan pidato yang sangat baik.

Namun, sebagai ketua negara, ucapan seperti itu akan mempunyai risiko yang besar kepada pengucapnya dan juga negara. Agenda mereka sangat ganas dan melampaui batas. Apapun, setiap kita hendaklah sanggup menanggung risiko perjuangan jika ikhlas dan benar.

Allah membalas kebaikan bagi setiap yang berjuang menegakkan apa yang DIA redha. Bebaskan G4Z4!!

Tahun lepas (25 Ogos 2024), mufti Perlis sudah menyampaikan amaran yang sama:

Saya hadir ke majlis ini. Saya mendengar ucapan YAB PMX. Saya berpendapat beliau telah mengambil risiko yang besar untuk dirinya, bahkan politiknya demi isu Palestin. Saya percaya, dari kenyataan-kenyataan yang sangat tegas dan jelas itu, itu datang dari diri beliau. Pemimpin-pemimpin gerakan Islam yang tidak memegang tampok kuasa sahaja yang biasanya bercakap demikian.

Mari kita semak penglibatan ejen Israel di Malaysia yang semakin meningkat:

  1. Pembunuhan Fadi Mohammad al-Batsh (2018)

April 2018, Fadi Mohammad al-Batsh, jurutera dan ahli akademik Palestin yang dikaitkan dengan Hamas, dibunuh di Kuala Lumpur — ditembak oleh dua penunggang motosikal ketika dalam perjalanan ke solat Subuh. Polis Malaysia dan Hamas menuding jari kepada agensi perisikan Israel, Mossad, walaupun Israel menafikan penglibatan.

  1. Operasi Penculikan Didakwa Mossad (September 2022)

September 2022, polis Malaysia menggagalkan satu plot yang melibatkan ejen Mossad yang menggunakan sel anak tempatan untuk menculik dua pakar komputer Palestin di Kuala Lumpur. Seorang mangsa berjaya diculik dan disoal siasat melalui panggilan video (didakwa melibatkan ejen Israel), manakala seorang lagi berjaya melarikan diri dan melaporkan kepada pihak berkuasa, membawa kepada penangkapan suspek. Media Malaysia melaporkan kewujudan sel Mossad seramai 11 orang.

  1. Penyiasat Persendirian Malaysia Didakwa Bekerja untuk Mossad (Ditangkap Oktober 2022)

Oktober 2022, Nidarahayu Zainal, seorang penyiasat persendirian Malaysia, ditahan kerana didakwa diupah oleh Mossad untuk menculik dua lelaki Palestin di Kuala Lumpur, dengan bayaran sebanyak RM100,000. Perbicaraan masih berlangsung di mahkamah uala Lumpur.

  1. Lelaki Israel (Shalom Avitan) Ditangkap Bersama Senjata Api (Mac 2024)

Mac 2024, polis Malaysia menahan Shalom Avitan, memiliki pasport Perancis dan Israel, di sebuah hotel di Kuala Lumpur bersama enam pucuk pistol dan 158–200 butir peluru. Pihak berkuasa syak beliau seorang perisik Israel walau beliau dakwa tujuannya untuk menyelesaikan pertikaian keluarga di sini. Pasangan suami isteri warga Malaysia dan warga asing ditahan.

  1. Kenyataan Polis Terkini Mengenai Kes Berkait Perisikan (2025)

Julai 2025, Ketua Polis Negara sahkan bahawa terdapat dua kes terkini dalam siasatan: satu melibatkan penculikan seorang warga Palestin, dan satu lagi melibatkan pemilikan enam pucuk pistol — kedua-duanya disyaki ada kaitan dengan ejen perisikan asing.

APABILA berlaku serangan menggunakan peluncur pada 7 Oktober 2023, yang kini sudah meranapkan seluruh Gaza dan mencetuskan konflik perang di Timur Tengah, muncul dakwaan Hamas menggunakan Malaysia sebagai medan latihan. Beberapa media dan pakar pro-Israel mengulang dakwaan lama:

30 Julai 2014 – Jerusalem Post

Seorang komander sel Hamas yang ditahan di Khan Yunis didakwa mengaku bahawa beliau dan sembilan orang lain telah pergi ke Malaysia pada tahun 2012 untuk latihan selama seminggu dalam penggunaan peluncur (paraglider) yang dirancang bagi serangan rentas sempadan ke Israel.

31 Julai 2014 – Penafian Kerajaan Malaysia

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Jaafar, secara terbuka menafikan dakwaan tersebut—dengan menegaskan Malaysia “tidak pernah membenarkan latihan sebegitu” dan menyifatkan laporan itu sebagai “tidak betul” dan “mengelirukan.”

April/Mei 2015 – Dakwaan Tambahan

Perisikan Israel (Shin Bet) sekali lagi tuduh Hamas melatih pelajar Palestin di Malaysia untuk operasi sulit, termasuk penggodaman (cyber hacking) dan aktiviti paramiliter.

November 2023, dalam artikel “Malaysia and the War in Gaza”, bekas pegawai tinggi tentera Israel, Dr. (Col. Res.) Shaul Shay memberi amaran halus kepada Malaysia dan Datuk Seri Anwar Ibrahim:

“Supporting any type of radical Islamic organization including Hamas can be risky for Malaysia, which tries to maintain a fragile balance between Islam and modernity and democracy. Malaysia has to learn from the experience of other Muslim states, which found radical Islam to be a “double edge sword” and halt its assistance to Hamas and other radical Islamic terrorist organizations.”

Terjemahannya: “Menyokong apa jua bentuk organisasi Islam radikal termasuk Hamas boleh menjadi membawa risiko bagi Malaysia, yang cuba mengekalkan keseimbangan rapuh antara Islam, kemodenan dan demokrasi. Malaysia perlu belajar daripada pengalaman negara-negara Islam lain yang mendapati Islam radikal sebagai ‘pedang bermata dua’ dan menghentikan bantuannya kepada Hamas serta organisasi pengganas Islam radikal yang lain.”

Jadi apakah semua ini yang dimaksudkan mufti Perlis?