Demokrasi, solidariti, maruah dalam nasionalisme Malaysia

Oleh LIEW CHIN TONG

Adakah satu bentuk nasionalisme Malaysia yang inklusif, menyatukan, dan merangkumi semua boleh diwujudkan di negara kita?

Sebagai anak muda yang membesar dengan pada dekad 1990-an, Wawasan 2020, idea Bangsa Malaysia, dan slogan Malaysia Boleh banyak mempengaruhi diri saya.

Dengan itu, jawapan saya kepada soalan di atas adalah “Ya, boleh”. Frasa-frasa popular itu bukan sekadar slogan tetapi harapan bagi generasi muda.

Saya berani mengatakan “Ya” kerana kita tahu bahawa sejarah telah membuktikan bahawa bangsa (𝘯𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯) tidak wujud secara semula jadi sejak zaman purba.

Ia merupakan suatu ciptaan yang “dibayangkan” (𝘪𝘮𝘢𝘨𝘪𝘯𝘦𝘥) tidak berapa lama dahulu melalui pengalaman bersama dan semangat padu solidariti.

Asal-usul nasionalisme moden

Apabila negara-negara cuba menyusur galur sejarah masing-masing yang mungkin beratus tahun, malah beribu tahun lamanya, sebenarnya fenomena nasionalisme moden bermula di Eropah, dan ia hanya berusia di antara 200 dan 300 tahun sahaja.

Idea yang menegaskan bahawa sesebuah negara mempunyai sempadan berdaulat hanya timbul selepas Perjanjian Damai Westphalia pada 1648, dan idea bahawa sesebuah negara wujud dalam sempadan berdaulat mula popular sejak kurun ke-18 sahaja.

Walaupun nasionalisme dapat menjalin perpaduan, pada separuh pertama abad ke-20, nasionalisme turut menjadi punca dua perang dunia yang mengorbankan berpuluh juta nyawa.

Benedict Anderson dalam bukunya yang bertajuk “𝘐𝘮𝘢𝘨𝘪𝘯𝘦𝘥 𝘊𝘰𝘮𝘮𝘶𝘯𝘪𝘵𝘪𝘦𝘴: 𝘙𝘦𝘧𝘭𝘦𝘤𝘵𝘪𝘰𝘯𝘴 𝘰𝘯 𝘵𝘩𝘦 𝘖𝘳𝘪𝘨𝘪𝘯 𝘢𝘯𝘥 𝘚𝘱𝘳𝘦𝘢𝘥 𝘰𝘧 𝘕𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯𝘢𝘭𝘪𝘴𝘮” telah menulis tentang nasionalisme, iaitu “𝘪𝘵 𝘪𝘴 ‘𝘪𝘮𝘢𝘨𝘪𝘯𝘦𝘥’ 𝘣𝘦𝘤𝘢𝘶𝘴𝘦 𝘵𝘩𝘦 𝘮𝘦𝘮𝘣𝘦𝘳𝘴 𝘰𝘧 𝘦𝘷𝘦𝘯 𝘵𝘩𝘦 𝘴𝘮𝘢𝘭𝘭𝘦𝘴𝘵 𝘯𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘸𝘪𝘭𝘭 𝘯𝘦𝘷𝘦𝘳 𝘬𝘯𝘰𝘸 𝘮𝘰𝘴𝘵 𝘰𝘧 𝘵𝘩𝘦𝘪𝘳 𝘧𝘦𝘭𝘭𝘰𝘸-𝘮𝘦𝘮𝘣𝘦𝘳𝘴, 𝘮𝘦𝘦𝘵 𝘵𝘩𝘦𝘮, 𝘰𝘳 𝘦𝘷𝘦𝘯 𝘩𝘦𝘢𝘳 𝘰𝘧 𝘵𝘩𝘦𝘮, 𝘺𝘦𝘵 𝘪𝘯 𝘵𝘩𝘦 𝘮𝘪𝘯𝘥𝘴 𝘰𝘧 𝘦𝘢𝘤𝘩 𝘭𝘪𝘷𝘦𝘴 𝘵𝘩𝘦 𝘪𝘮𝘢𝘨𝘦 𝘰𝘧 𝘵𝘩𝘦𝘪𝘳 𝘤𝘰𝘮𝘮𝘶𝘯𝘪𝘰𝘯” (ia “dibayangkan” kerana anggota masyarakat dalam semua bangsa (𝘯𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯), termasuk bangsa yang paling kecil, tidak akan mengenali satu sama lain, bersua muka atau mendengar tentang yang lain, namun dalam minda setiap seorang daripada mereka sudah wujud satu imej bangsa yang mereka rasa mereka adalah sebahagian daripadanya).

Anderson memulakan kerjayanya sebagai cendekiawan sejarah moden Indonesia, khususnya pada era revolusi 1945-49.

Sejarah Indonesia dapat menjelaskan kepada kita tentang idea yang dikemukakannya.

Dahulu, masyarakat yang pelbagai di Nusantara tidak mempunyai hubungan antara satu sama lain walaupun mereka diperintah oleh satu penjajah, iaitu Belanda.

Apabila kapal api yang memudahkan pengangkutan jarak jauh mulai beroperasi, anak-anak muda golongan elit pribumi telah dihantar ke Belanda untuk melanjutkan pengajian mereka.

Apabila tiba di sana, mereka mula mengenali antara satu sama lain buat kali pertama dalam suasana yang digelar “𝘤𝘳𝘢𝘮𝘱𝘦𝘥 𝘱𝘪𝘭𝘨𝘳𝘪𝘮𝘢𝘨𝘦” oleh Anderson.

Ini berlaku sewaktu kebangkitan nasionalisme di Eropah pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Menjelang awal abad ke-20, apabila rakyat di jajahan Hindia Timur Belanda meneruskan penentangan terhadap penjajah, perjuangan mereka mula berteraskan nasionalisme Indonesia yang merangkumi semua kaum dan masyarakat dalam ruang sempadan jajahan Belanda.

Kawasan ini telah ditentukan sesama penjajah melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 tanpa penyertaan penduduk pribumi.

Malah, sempadan Malaysia juga wujud daripada kesan perjanjian penjajah ini, iaitu melibatkan bekas jajahan British di Malaya, Borneo Utara (Sabah), dan Sarawak, kecuali Singapura yang merdeka selepas dikeluarkan daripada Malaysia pada 1965.

Dalam sempadan berdaulat ini yang mempunyai pelbagai kumpulan masyarakat dari semua pelosok kawasan serta waris-waris kaum yang dibawa oleh kerajaan dan pedagang British untuk bekerja di sini, sebuah negara bergelar Malaysia telah ditubuhkan manakala kewujudan satu bangsa Malaysia dinanti-nantikan.

Empat versi bangsa idaman Malaysia

Dalam buku “𝘈𝘴𝘪𝘢𝘯 𝘍𝘰𝘳𝘮𝘴 𝘰𝘧 𝘵𝘩𝘦 𝘕𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯” yang disunting oleh Stein Tonnesson dan Hans Antlov, satu bab oleh Profesor Shamsul A.B. telah menjelaskan masalah yang dihadapi Malaysia.

Ada empat versi tentang identiti Malaysia – satu yang rasmi, dan tiga alternatif “nation-of-intent” (bangsa idaman).

Yang rasmi meletakkan identiti Bumiputera (Melayu) sebagai “teras” dengan menerima kewujudan kaum lain.

Bagi konsep bangsa idaman yang alternatif, kaum bukan-Melayu mahu identiti nasional yang lebih plural dan terangkum; kumpulan Islamis inginkan negara yang lebih bersifat Islamik; dan rakyat Sabah dan Sarawak, kebanyakan mereka adalah Bumiputera bukan-Muslim, mahu sebuah negara yang menghormati serta menerima mereka sepenuhnya.

Projek Malaysia 1963 merupakan kompromi keempat-empat versi negara/bangsa tersebut. Tetapi adakah akan wujud nasionalisme Malaysia yang tegar semangat kekitaannya, tanpa mengira kaum, agama, atau bahasa, serta yang sanggup kita bina, perjuangkan, dan pertahankannya?

Era Merdeka yang awal bersifat idealistik tetapi solidariti hanya wujud dalam kalangan elit, dan tidak diperluaskan kepada rakyat biasa.

Dengan itu, walaupun peristiwa 13 Mei sering dikaitkan dengan rusuhan kaum, ia sebenarnya melibatkan elemen kelas (darjat) dan demografi.

Generasi “baby boomers” yang lahir sebaik sahaja tamat Perang Dunia Kedua pada 1945 sudah menjadi dewasa sekitar pertengahan dekad 1960-an.

Mereka memerlukan pekerjaan, dan mempunyai impian untuk berjaya dalam hidup walaupun dalam suasana ekonomi yang muram.

Apabila golongan elit berkuasa dilihat terpisah daripada masyarakat umum, kebanyakan calon/wakil rakyat mereka – mewakili pelbagai kaum – telah ditolak oleh pengundi pada pilihan raya umum Mei 1969.

Dua dekad kemudian, pada 1990-an, era idealistik kembali lagi. Perang Dingin baru sahaja tamat dengan runtuhnya Tembok Berlin serta hancurnya Soviet Union.

Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad pada Februari 1991 telah melancarkan Wawasan 2020 serta idea Bangsa Malaysia yang memberi inspirasi kepada golongan muda pada masa itu – kini kebanyakan mereka berusia di antara 40 dan 50 tahun, seperti saya. Apabila Malaysia memenangi juara badminton Piala Thomas 1992, ia menjadi kenangan manis dekad tersebut.

Peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menggalakkan Dialog Islam-Konfusianisme pada 1995, dan usahanya menjelaskan tentang Gelombang Kebangkitan Asia (𝘛𝘩𝘦 𝘈𝘴𝘪𝘢𝘯 𝘙𝘦𝘯𝘢𝘪𝘴𝘴𝘢𝘯𝘤𝘦) pada 1996 turut menjadi kebanggaan.

Apabila krisis kewangan Asia memusnahkan Impian Asia, dan apabila Datuk Seri Anwar dipecat dan dipenjarakan, gerakan 𝘢𝘯𝘵𝘪-𝘦𝘴𝘵𝘢𝘣𝘭𝘪𝘴𝘩𝘮𝘦𝘯𝘵 tidak menjelma dalam bentuk kaum-lawan-kaum tetapi berasaskan keadilan dan solidariti.

Dua dekad seterusnya memperlihatkan tatanan lama semakin pudar, namun tatanan baharu belum muncul lagi.

Peluang keemasan

Kerajaan Perpaduan kini berpeluang untuk membina dan mewujudkan nasionalisme Malaysia yang dapat menyatupadukan rakyat pelbagai kaum ketika krisis dan kekacauan melanda dunia.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar ini telah membuktikan kemampuan memenangi beberapa pilihan raya kecil serta pilihan raya serentak di enam negeri, dan kestabilan dalam mentadbir negara.

Perpaduan yang utuh antara 19 parti gabungan dalam kerajaan memacu manfaat kepada kestabilan negara.

Masanya tiba untuk mencapai cita-cita baharu: Membina negara dan nasionalisme Malaysia yang bukan sekadar di peringkat kerajaan tetapi diterima oleh rakyat dalam kehidupan seharian mereka atau “𝘦𝘷𝘦𝘳𝘺𝘥𝘢𝘺 𝘴𝘰𝘤𝘪𝘢𝘭 𝘦𝘹𝘪𝘴𝘵𝘦𝘯𝘤𝘦” seperti yang diungkapkan oleh Dr Shamsul A.B.

Sewaktu pandemik Covid-19, kata-kata popular “kita jaga kita” lahir secara semula jadi atas kekecewaan rakyat terhadap kerajaan, dan kemarahan kepada amalan “antara dua darjat” yang mengutamakan golongan elit berbanding rakyat biasa.

Bagi melaksanakan idea nasionalisme Malaysia, kita perlu menangani persoalan bagaimana membawa versi bangsa idaman yang berbeza dalam satu misi bersama. Kita juga perlu memastikan elemen maruah dan solidariti wujud melalui kerangka demokrasi.

Dalam masyarakat seperti di Malaysia yang sering melihat individu sekadar sebagai nombor sahaja dalam identiti kumpulan atau kaum, adalah penting untuk kita menyedari bahawa setiap warga dewasa adalah seorang pengundi, insan berguna, dan manusia bermaruah yang tidak akan membenarkan dirinya dipijak orang.

Solidariti amat penting. Kejayaan negara-negara Scandinavia selama beberapa dekad sebelum ini ialah kerana wujudnya sistem negara kebajikan, dan masalah polarisasi kaum di Eropah sekarang timbul kerana sistem negara kebajikan sedang dimansuhkan oleh kerajaan-kerajaan semasa. Sistem negara kebajikan merupakan “lantai” bagi meningkatkan taraf hidup serta darjat rakyat.

Di Malaysia, golongan elit perlu menjaga kebajikan rakyat, termasuk menyediakan peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji setimpal. Jika gagal berbuat demikian, warga Malaysia terpaksa ke Singapura untuk bekerja sebagai buruh murah.

Apabila rakyat kita melihat majikan Malaysia hidup mewah dengan menggajikan buruh asing tidak berkemahiran yang telah meragut peluang pekerja tempatan, atau syarikat Malaysia berasa mereka diketepikan apabila korporat asing diberi lebih banyak kemudahan, perasaan 𝘢𝘯𝘵𝘪-𝘦𝘴𝘵𝘢𝘣𝘭𝘪𝘴𝘩𝘮𝘦𝘯𝘵 akan mula membara.

Bagi menjayakan nasionalisme Malaysia berjiwa segar dengan serta dorongan baharu untuk melaksanakannya, kerangka demokrasi dan aspirasi rakyat perlu wujud bersama.

Ini untuk mengelakkan nasionalisme Malaysia daripada dipergunakan oleh pemimpin kuku besi untuk memecah-belahkan rakyat.

Memang benar, walaupun nasionalisme mampu memupuk perpaduan, jika disalahgunakan, ia boleh membawa kepada konflik berdarah serta diskriminasi.

Melalui nasionalisme Malaysia, negara kita boleh menjadi teladan kepada dunia sebagai model bangsa pelbagai kaum yang berteraskan demokrasi, solidariti dan maruah.

Masanya telah tiba untuk membina nasionalisme Malaysia yang inklusif, menyatukan, dan merangkumi semua.

  • LIEW CHIN TONG merupakan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan pengarah strategik DAP.