MYDIN lancar Program Kotak Sumbangan Asas RAHMAH (SARA RAHMAH)

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Program Kotak Sumbangan Asas Rahmah (SARA) oleh YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh FB Live… Majlis Pelancaran Program Kotak Sumbangan Asas Rahmah (SARA) oleh YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) anjuran Syarikat Mydin Mohamad Holding Bhd (MYDIN) di MYDIN Subang Jaya, Selangor. 25hb Ogos 2025 (Isnin)

SUBANG JAYA, 25 Ogos 2025 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merakamkan penghargaan kepada Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) atas pelancaran Program Kotak Sumbangan Asas RAHMAH (SARA RAHMAH) yang disifatkan sebagai inisiatif berimpak tinggi dalam meringankan beban rakyat serta memperkukuh ekosistem ekonomi domestik.

Kotak SARA RAHMAH yang berharga RM100 setiap satu mengandungi pelbagai barangan asas, termasuk produk keluaran Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan. Program ini juga menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang digerakkan KPDN.

Melalui inisiatif ini, orang ramai berpeluang membeli dan menyumbangkan kotak tersebut kepada golongan yang memerlukan. Pengagihan akan dilaksanakan oleh MYDIN dengan kerjasama KPDN melalui Program Bakul RAHMAH di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Bagi memastikan bantuan lebih bersasar, KPDN bersama MYDIN turut memperkenalkan pakej khusus mengikut kumpulan sasaran seperti keluarga, warga emas dan mahasiswa.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Datuk Dr. Fuziah binti Salleh, Kotak SARA RAHMAH ini bukan sekadar berisi barangan asas, tetapi merupakan simbol kasih sayang, solidariti dan harapan selari dengan agenda IHSAN Kerajaan MADANI.

ā€œSaya menyeru semua pasar raya dan hypermarket di seluruh Malaysia agar mencontohi inisiatif MYDIN. Hari ini MYDIN mendahului, esok kita mahu lihat lebih ramai rakan industri tampil bersama. Penyertaan sektor swasta secara kolektif akan memperkukuh jaringan perlindungan sosial dan memperluaskan impak Inisiatif Payung RAHMAH kepada seluruh masyarakat,ā€ katanya.

Beliau menegaskan bahawa program ini adalah cerminan falsafah Malaysia MADANI iaitu kerajaan menyediakan dasar, syarikat swasta menyumbang kepakaran serta sumber, dan masyarakat bersama-sama menjayakannya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada MYDIN atas ulang tahun ke-68 penubuhannya, sambil berharap agar inisiatif ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk terus menyumbang demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.