Tuntut keadilan untuk mangsa ‘dirompak’ jadi modal politik

Oleh LIYANA MARZUKI

Awalnya, kalau bukan kerana rakyat bersuara, kes Zara Qairina mungkin sudah disapu bawah karpet.

Diterima begitu saja sebagai kes “pelajar bunuh diri”. Polis basuh tangan, sekolah nak cepat-cepat lupakan.

Kita harus ucap terima kasih kepada semua yang terlibat. Tanpa desakan itu, mungkin Ibu Pejabat PDRM pun tidak turun campur tangan.

Tapi selepas itu, jelas seperti perjuangan ini dirompak.

Dari tuntutan rakyat, sekarang sudah jadi modal politik. Tambah PRN negeri menghampiri.

Zara Qairina

Minggu ini, keluarga seorang menteri pula dituduh, difitnah, dihukum di mahkamah netizen.

Walhal, mereka sudah menafikan sejak awal. Anak mereka tidak bersekolah di situ. Isteri Menteri tidak pernah jadi pengetua sekolah.

Namun, ada lagi yang menyerang di TikTok, mendedahkan nama dan muka anak dan isteri menteri. Berulang kali. Ini bahaya sekali.

Sampai peguam keluarga dan ibu mangsa kena keluar kenyataan, kes ini tiada kaitan dengan orang kenamaan (VIP). Hanya pelajar biasa.

Inilah bahaya framing apabila ia diambil alih oleh politik. Mangsa semakin tenggelam.
Yang tinggal hanya kebencian, fitnah, manipulasi.

Bukan keadilan yang dicari, tetapi sudah taksub mencari undi.

Matlamat menghalalkan cara sekali.

Buli atas talian

Undang-undang sudah jelas. Seksyen 507E — kesalahan doxing yakni mendedahkan maklumat, buli atas talian telah berkuat kuasa sejak Julai.

Dah jadi kesalahan jenayah. Boleh dihukum penjara dan didenda.

Saya sarankan mereka yang terkesan buat laporan polis dan ambil tindakan segera. Biar geng musibat ini berhenti main api fitnah.

Biar akaun palsu terhenti cari makan dengan fitnah dan kata cacian. Tiba masa kerajaan bertindak tegas.

Jangan sampai huru-hara negara. Takut mob justice ini tidak terkawal gelombangnya.

Kalau kerajaan masih berlengah, fitnah akan jadi senjata biasa. Hari ini keluarga seorang menteri. Esok, siapa pulak yang kena?

Sudah tiba masanya undang-undang ditegakkan. Akaun palsu dipertanggungjawabkan dan politik kebencian dihentikan segera.

Kita hendakkan keadilan untuk mangsa. Jangan kita pula zalim pada mereka yang tiada kena-mengena.

BACA JUGA Siapa sebenarnya tekan rakyat Kedah dengan kenaikan tarif air, premium tanah?