Akhirnya Duyong Marina Resort terlepas…
Oleh ZAMIR GHAZALI
Sejujurnya saya berasa simpati kepada bakal Perdana Menteri ke-11, Dr Samsuri yang kini menjawat jawatan Menteri Besar Terengganu.
Simpati saya ialah kerana pasukan sekelilingnya untuk membantu pentadbiran dan meningkatkan hasil negeri adalah di tahap prestasi terlalu di luar kotak.
Dan beliau sebagai Menteri Besar perlu cuba sedaya upaya untuk letak kepakaran dari ahli partinya sendiri untuk dibangunkan bakat dan mewarisi pentadbiran. Niat dan komitmen ini, ada pada semua pemimpin parti.
Dr Samsuri bukan tidak mencuba. Beliau sudah berbuat begitu demi Melayu dan Islam. Dalam isu Hotel Duyong Marina, beliau sudah mencuba memberi peluang dengan melantik Pengurus Besar dari pimpinan Pas; Ustaz Wan Faizul Wan Abbas untuk menjadi Pengurus Besar Hotel Duyong Marina.
Bahkan, mungkin sudah dibantu dengan suntikan modal agar hotel tersebut dapat segar terus gagah dan memberi keuntungan.
Saya percaya, Dr Samsuri yang berjiwa ‘fighter RXZ’ ini berusaha sebaik mungkin untuk buktikan kejayaan sebuah teori; Kepimpinan Ulama.
Dalam erti kata lain, ulama juga boleh menjadi umara. Boleh pimpin. Cekap tadbir. Handal berniaga. Tidak hanya lantang dan jelira bertakbir.
Cakap saja agah
Namun, yalah. Sepenggal pertama mungkin boleh digagah. Masuk penggal kedua, orang akan panggil cakap saja agah.
Dan inilah dilema seorang Menteri Besar sebuah perjuangan Islam. Ustaz Wan Faizul ini, ketika mana dahulu Duyong Marina di bawah teraju beliau, sudah pernah tewas dengan musang.
Ya. Sebuah hotel yang persada dan perkasa. Dalam penuh liku perjuangan patuh shariah, pernah tewas pengurusannya dengan musang.
Dari sini, Dr. Samsuri yang datang dari latar teknorat dan bukan ulama; sudah boleh menghidu arah tuju Duyong ini ke depan. Jika lambat bertindak; ke laut dalamlah Marina bakal tenggelam menjadi tukun.
Bagi Dr Samsuri, mana boleh turun ke laut. Cita-cita beliau meneroka aeroangkasa. Lantas bertukarlah; “rebranding” Duyong Marina menjadi The Langit.
Ustaz Wan Faizul Wan Abbas adalah bekas Pengerusi Tetap Pemuda Pas. Justeru, medan seperti ini penting sebagai keluk pembelajaran.
Manalah tahu jika ditakdirkan PM-11 nanti ialah Dr Samsuri, pastilah beliau dalam jejak untuk mengetuai PNB, Khazanah, Felda, TNB dan jika boleh, Petronas.

Justeru penting untuk diberi percaya medan untuk sayembara. Apa salahnya dengan belajar dulu mengurus hotel. Sebagaimana medan lain seperti TFC Terengganu.
Niat Dr Samsuri di sini sudah betul. Jalannya juga sudah tepat. Namun begitulah, kita hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan.
Tatkala beralih sudah pengurusan Duyong Marina kepada sebuah syarikat swasta lain dan bukan Bumiputera; ia bukan satu agenda yang digemari.
Saya dapat selami perasaan Dr. Samsuri dengan keputusan ini. Tetapi beliau tidak mampu lagi untuk menghadap episod ke depan yang lebih ngeri.
Laksana hilang sudah duit rakyat RM4 juta di kantung Yayasan Negeri, dek bahana dilanggar garuda kilang topeng muka. Maju, Berkat dan Sejahtera tidak mampu lagi untuk menadah muka dimalukan seorang lagi Bangladesh.
Justeru terbaik itu, Cina pun Cinalah. Tak salah pun sebenarnya untuk cagar aset negeri kepada bangsa selain ketuanan Islam dan Melayu ini. Asalkan ia berbaloi dan untung.
Cuma begitulah; terasa kelatlah sedikit menelan air liur. Sebab itulah majlis serah ambil alih ini tidak diuar-uarkan laksana berahinya mahu rasmi sang Menteri Besar kepada himpunan permotoran. Ana faham.. kami faham, ya sheikh.
Nasib Ustaz Wan Faizul Wan Abbas selepas ini tidak diketahui. Sama ada kembali menerajui usrah atau menjual patung penyu.
Nampak status di muka buku, handal menghitung jualan patung penyu comel. Atau mungkin dibuat pengurusan bersama kepada Duyong Marina. Barangkali sebagai penasihat patuh shariah.
Penting juga posisi ini untuk ada unit khas pantau kolam, bilik mandi dan bar jualan air kopi. Manalah tahu ke depan ini terhidang pula air setan. Atau ter-pesta Aloha pula. Tak bolehlah begitu, bos. Bising nanti Ustaz Azhar Idrus.
Kepada Menteri Besar Terengganu, Dr Samsuri; sebenarnya kami rakyat menyokong saja keputusan ini. Sub dan cagarlah semua aset negeri.
Asal untung tak mengapa. Jangan tak untung pula. Kepada ‘type’ apa pun nak diserah tak perlu dibuat isu.
Ana setuju. Kita rakyat Malaysia ini masyarakat majmuk. Negara ini dibina dengan saling memahami, sesama bantu membantu, toleransi dan harmoni.
Cuma yalah, kesat-kesat sikitlah air liur yang terludah ke muka sendiri.
Apa khabar Ustaz Marzuk dan Ustaz Dasuki? Masih menyimpankah tuan maulana di Tabung Haji?
*ZAMIR GHAZALI merupakan Ketua Kawasan AMANAH Kuala Terengganu.
BACA JUGA Sedekad AMANAH hidupkan semula idea Islam Rahmatan Lil Alamin