Pegawai kanan gred Jusa B PBT ditahan terlibat rasuah sejak 2014

Seorang pegawai kanan kerajaan berpangkat gred Jusa B yang berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia selepas suspek dipercayai terlibat dengan rasuah sejak 11 tahun lalu pada 2014.

Suspek ditahan bersama dua lagi individu melibatkan seorang lelaki yang merupakan pemilik syarikat dan seorang wanita berumur lingkungan 40-an.

Menurut Bernama, suspek berusia lingkungan 50-an didakwa telah menerima rasuah daripada syarikat terbabit sebagai dorongan membantu mendapatkan projek di PBT.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat rasuah sejak 2014, suspek berjawatan pemilik syarikat terbabit dipercayai telah membayar rasuah kepada pegawai PBT berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan projek di PBT terbabit.

“Susulan tangkapan terhadap ketiga-tiga individu itu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM150,000, empat peranti telekomunikasi, dua unit kenderaan jenis Lexus RX500H serta Mini Cooper, beg tangan serta kasut berjenama Hermes dan Louis Vuitton,” katanya kepada Bernama.

Pengarah syarikat dan wanita 40-an ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberikan keterangan antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang semalam.

Suspek lelaki yang berkhidmat dengan PBT pula ditahan di pejabatnya kira-kira jam 4 petang.

Menurut laporan, SPRM juga telah membekukan 19 akaun perbankan milik individu serta syarikat melibatkan nilai lebih RM7 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin mengesahkan tangkapan ketiga-tiga individu itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

BACA JUGA Pernah duduk dalam JPM, masakan MP Pas tidak tahu integriti TH?