Pembaharuan Semula Bandar tidak usir Melayu dari bandar
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menegaskan bahawa Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang sedang diusahakan kerajaan Persekutuan tidak akan mengusir orang Melayu dari kawasan bandar.
Beliau berkata, akta tersebut dengan jelas menyatakan bahawa pemilik akan dikekalkan di kawasan asal dengan memiliki rumah yang baharu dengan kemudahan yang lebih baik disediakan oleh pihak kerajaan.
“(Dakwaan Melayu diusir) ini satu tohmahan dan fitnah yang sangat jahat,” katanya dalam sidang media Ahli Parlimen Kerajaan berkenaan RUU PSB di Bangunan Parlimen hari ini.
Menurutnya, jika sesuatu tanah telah diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu, ia akan kekal berstatus demikian dan tidak boleh diubah oleh mana-mana kerajaan.
“Kuasa kerajaan negeri sama sekali tidak akan terhakis sebaliknya akan diperkasa dan dipertahankan,” tegas Sany lagi.
Terdahulu, pembangkang menolak RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) kerana dikhuatiri memberi implikasi besar terhadap kuasa autonomi negeri.
Menerusi kenyataan hari ini, Pejabat Sekretariat State Government 4 (SG4) berkata, RUU itu jika diluluskan akan turut memberikan implikasi terhadap hak pemilikan tanah, kelangsungan komuniti asal bandar serta hak asasi penduduk setempat.
Pembangkang berkata, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) sedia ada dengan jelas memperuntukkan urusan perancangan bandar terletak di bawah bidang kuasa eksekutif negeri yang dilaksanakan melalui pihak berkuasa perancang negeri dan pihak berkuasa perancang tempatan.
BACA JUGA Pelajar terjatuh di asrama sekolah, masyarakat diseru elak sebar berita palsu