Timbalan Speaker ingatkan MP Pengkalan Chepa jangan main-main Akta Rahsia Rasmi

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Marzuk Shaary ditegur Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Noor supaya berhati-hati ketika membicarakan apa-apa dokumen rasmi negara biarpun ahli Dewan dilindungi di bawah Peraturan Mesyuarat 63.

Beliau memberi amaran keras bahawa Ahli Parlimen tidak bebas sepenuhnya daripada implikasi undang-undang.

Katanya, sebarang pendedahan dokumen rasmi tetap boleh mengundang siasatan pihak berkuasa kerana siaran prosiding dipancarkan kepada umum.

“Memang di dalam Dewan Rakyat kita dilindungi oleh Peraturan 63. Tetapi apa-apa dokumen rasmi walaupun di dalam Dewan telah dinyatakan sedemikian, apa yang kita bercakap di sini akan dipancar keluar di luar.

“Jika ada maklumat, pertama sekali pihak berkuasa seperti PDRM akan menjalankan penyiasatan. Ini berpandu pengalaman saya sendiri,” katanya sebelum memulakan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Ramli berkata, Ahli Parlimen perlu lebih berwaspada dalam menggunakan dokumen rasmi sebagai hujah perbahasan kerana ia boleh memberi kesan undang-undang di luar Dewan Rakyat.

Semalam, Marzuk mendakwa beliau memperoleh maklumat sulit yang mendapati kos penjenamaan semula Tabung Haji bernilai RM18 juta dan bukan RM5.9 juta seperti yang dijelaskan menteri agama.