Kerajaan buka 108 sesi libat urus RUU PSB, pembangkang seorang pun tak datang

OLEH A. ZAHID

Dalam isu RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB), kerajaan jelas menunjukkan kesungguhan untuk bersikap inklusif dan telus. Bayangkan, sebanyak 108 sesi libat urus diadakan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Setiap saluran dialog dibuka, setiap soalan dijawab, dan setiap kebimbangan diberi ruang untuk diperjelaskan.

Malah, pada bulan Mei lalu kerajaan turut mengatur lawatan tapak supaya semua wakil rakyat dapat melihat sendiri keadaan kawasan pembaharuan yang menjadi asas kepada RUU ini.

Namun, apa yang mengecewakan ialah tiada seorang pun wakil pembangkang hadir.

Ironinya, merekalah yang paling lantang menentang RUU PSB di luar dewan, tetapi apabila peluang terbuka luas untuk mereka berbincang, memberi pandangan, atau menyoal terus kepada pihak berkuasa, mereka memilih untuk tidak hadir.

Ini bukan sahaja melemahkan hujah mereka, malah menimbulkan persoalan tentang keikhlasan mereka memperjuangkan suara rakyat bandar.

Lebih menarik, kerajaan tidak berhenti di situ. Pada 26 Ogos, satu sesi penerangan terbuka diadakan secara langsung di bilik media Parlimen. Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Alias Rameli sendiri hadir memberi penjelasan, menjawab soalan-soalan ahli Parlimen di hadapan media.

Antara yang hadir termasuk Wong Shu Qi (PH-Kluang), RSN Rayer (PH-Jelutong), Azli Yusof (PH-Shah Alam) dan Mohd Sany Hamzah (PH-Hulu Langat).

Diskusi berlangsung lebih 20 minit dengan penuh keterbukaan, membuktikan kerajaan tidak pernah menyorokkan apa-apa.

Fakta ini menolak persepsi kononnya kerajaan mahu memaksa atau menutup ruang perbincangan.

Hakikatnya, pintu dialog sentiasa terbuka. Masalahnya, pembangkang memilih untuk berdiri atas persepsi dan andaian, bukan fakta.

Dalam soal membina masa depan rakyat bandar, kerajaan jelas memilih pendekatan inklusif.

PSB bukan soal politik partisan, tetapi soal memperbaiki kehidupan ribuan penduduk yang tinggal di flat usang, kawasan terbiar dan infrastruktur yang kian merosot.

Sayangnya, keengganan pembangkang untuk terlibat dalam sesi libat urus menunjukkan mereka lebih selesa bermain persepsi daripada mencari penyelesaian.

Akhirnya, rakyat boleh menilai sendiri siapa yang benar-benar mahu berbincang demi masa depan bandar, dan siapa yang sekadar bising tanpa hadir apabila ruang diberikan.

BACA JUGA Pas lidah bercabang: Dulu siap tandai lebih 30 kawasan, kini mahu berdemonstrasi bantah PSB