PMX, Ahli Parlimen Sertai Kempen Promosi Buah-Buahan Tempatan di Parlimen

FOTO BERITA: Program Jom Makan Buah-Buahan Tempatan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Dewan Serbaguna Parlimen Malaysia Malaysia Kuala Lumpur. 26hb Ogos 2025 Selasa. (Gambar: FB Mohamad Sabu)

KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2025 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hari ini menganjurkan Kempen Jom Makan Buah-Buahan Tempatan @ Parlimen bertempat di Dewan Serbaguna Parlimen Malaysia. (Gambar: FB Mohamad Sabu)

Program tersebut diserikan dengan kehadiran YAB Perdana Menteri Malaysia, YAB Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, YB Menteri dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara serta warga Parlimen.

Mengangkat tema “Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan, Pilihan Tepat Berkhasiat”, kempen ini bertujuan menggalakkan masyarakat meningkatkan pengambilan buah-buahan segar dan bernutrisi dari hasil tempatan, selain mengurangkan kebergantungan terhadap buah-buahan import. Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Kempen Gaya Hidup Sihat yang menekankan pemakanan seimbang berasaskan produk tempatan.

Sebagai agensi peneraju pemasaran hasil pertanian, FAMA menegaskan bahawa buah-buahan tempatan bukan sahaja kaya dengan nutrisi semula jadi, malah pemilihannya dalam diet harian akan turut memperkukuh industri agromakanan negara serta memberi manfaat besar kepada para petani.

Penganjuran kempen di Parlimen ini merupakan kesinambungan daripada Pelancaran Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan Peringkat Kebangsaan yang telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu pada 27 Julai lalu di AEON Mall Bukit Tinggi, Klang, Selangor.

FAMA menampilkan pelbagai jenis buah-buahan tempatan seperti durian, nangka, pomelo, buah naga, dokong, jambu lohan, rambutan dan nanas bagi diperkenalkan kepada ahli Parlimen dan warga kerja Parlimen. Program seumpama ini turut diperluaskan ke seluruh negeri, sekolah serta institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Menurut FAMA, kempen ini diyakini memberi impak positif dari aspek ekonomi melalui peningkatan permintaan buah-buahan tempatan dan pengurangan kebergantungan kepada buah import. Dari sudut sosial, ia meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap produk agromakanan tempatan, manakala dari sudut kesihatan ia mampu mendorong rakyat meningkatkan pengambilan buah-buahan dalam diet harian bagi mencegah penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan obesiti.

FAMA turut menyeru rakyat Malaysia untuk menjadikan buah-buahan tempatan sebagai pilihan utama kerana selain berkhasiat, ia juga menyumbang kepada pengukuhan ekonomi petani serta pembangunan industri agromakanan negara.