Sikap wasathiyyah dalam isu bendera terbalik: Antara ekstrem menghukum dan ekstrem meremehkan

Oleh DATUK DR FATHUL BARI MAT JAHYA

1) Menghormati Simbol & Identiti Negara

Bendera adalah lambang kedaulatan, maruah, dan penyatuan rakyat. Dalam tradisi Islam, kita diajar untuk menghormati syiar dan tanda yang menjadi identiti sesuatu umat.

Ia bukan sekadar simbol, tetapi mencerminkan kehormatan, kesatuan, dan pegangan sebuah bangsa atau agama.

Sejarah peperangan dalam Islam memperlihatkan bagaimana Rasulullah SAW mengurniakan bendera kepada panglima atau ketua pasukan sebagai lambang maruah, tanda kekuatan, serta amanah besar yang wajib dipertahankan.

Bendera itu bukan sekadar kain yang dikibarkan, tetapi merupakan panji perjuangan umat Islam yang tidak boleh dijatuhkan, apatah lagi dihina oleh musuh.

Peristiwa di medan Mu’tah menjadi saksi agung. Ja’far bin Abi Talib R.A., meskipun kedua-dua tangannya ditetak, tetap tidak melepaskan bendera Islam.

Dengan tunggul tangannya yang berbaki, beliau terus mengangkat panji itu hingga ke akhir hayatnya. Keberanian beliau membuktikan bahawa mempertahankan bendera bermakna mempertahankan maruah agama, umat, dan aqidah.

(Lihat: al-Rahiq al-Makhtum, Sofiyurrahman al-Mubarakfuri, hlm. 275-276)

Walaupun kisah ini merujuk khusus kepada panji Islam ketika peperangan, ia memberikan asas yang kukuh bahawa menghormati simbol yang dimuliakan masyarakat adalah sebahagian daripada tuntutan syarak.

Maka, menjaga dan memuliakan bendera negara hari ini juga selaras dengan ajaran Islam dalam memelihara maruah, identiti, serta kesatuan umat.

2) Menilai dengan Adil & Tidak Gopoh Menghukum

Dalam isu bendera terbalik, ada kalanya ia berlaku kerana kecuaian, dan ada kalanya disengajakan. Islam menuntut kita menilai dengan adil sebelum menghukum.

Firman Allah SWT:

‎يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah dahulu, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada suatu kaum dengan kejahilan, lalu menjadikan kamu menyesal atas apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Hujurat: 6)

Islam juga melarang umatnya bertindak sembrono, pentingkan diri, atau membuat keputusan tanpa fikir panjang.

Tindakan yang lahir daripada emosi semata-mata sering membawa kerosakan yang lebih besar daripada manfaat yang diharapkan.

Sabda Rasulullah SAW:

‎التَّأَنِّي مِنَ اللَّهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: “Bersikap tenang (tidak gopoh) itu datang daripada Allah, sedangkan sikap tergesa-gesa itu datang daripada syaitan.”
(HR. al-Tirmizi, no. 2019)

Prinsip ini mengajar kita supaya tidak gopoh dan menyemak SETIAP konteks kesalahan terlebih dahulu sebelum melabel orang lain sebagai pengkhianat atau tidak patriotik.

3) Adab dalam Menegur

Islam mewajibkan amar makruf nahi mungkar, tetapi dengan cara paling sesuai dan berhikmah.

Firman Allah SWT:

‎ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”
(Surah al-Nahl: 125)

Sabda Nabi SAW:

‎مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman.”
(HR. Muslim, no. 49)

Jika bendera terbalik berlaku kerana kesilapan, maka tegurlah dengan penuh hikmah dan beradab.

Namun, jika ia dilakukan dengan sengaja, teguran tetap perlu disampaikan, seterusnya disusuli dengan tindakan perundangan yang sewajarnya menurut perlembagaan.

Dalam apa jua keadaan, elakkan provokasi melampau yang hanya menambah ketegangan dan perpecahan.

Fokus kepada pelaku yang melakukan kesalahan tersebut tanpa mengaitkan dengan bangsa dan politik kepartian.

4) Sederhana, Tidak Melampau

Islam mendidik umatnya menjadi ummatan wasatan — umat sederhana, seimbang, tidak melampau.

Firman Allah SWT:

‎وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ

Maksudnya: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai umat Islam) umat yang adil lagi pilihan, supaya kamu menjadi saksi ke atas (perbuatan) manusia.”
(Surah al-Baqarah: 143)

Dalam isu ini, jangan terlalu keras sehingga melabel pengkhianat tanpa bukti, dan jangan pula terlalu longgar hingga menganggapnya tidak bernilai.

Sikap wasathiyyah ialah memelihara maruah simbol negara sambil menilai dengan adil serta menegur dengan bijaksana.

5) Pertimbangan Maslahah & Mafsadah

Islam menekankan pertimbangan maslahah (kebaikan) dan mafsadah (kemudaratan) dalam setiap tindakan.

Jika teguran atau tindakan hanya membuka ruang kepada perpecahan, penghinaan, atau fitnah lebih besar, maka menahan diri adalah lebih utama.

Namun, jika ia membawa kesedaran, pembaikan, dan penyatuan, maka ia perlu ditegakkan sebagai tuntutan syarak.

📌 Kaedah fiqh menyebut:

‎دَرْءُ الْمَفَاسِدِ أَوْلَى مِنْ جَلْبِ الْمَصَالِحِ

Maksudnya: “Menolak kerosakan adalah lebih utama daripada menarik kebaikan.”

Maka dalam isu bendera terbalik:

  • Jangan gopoh menghukum hingga terus menuduh pengkhianat tanpa bukti.
  • Jangan juga meremehkan seolah-olah ia tiada nilai.
  • Sikap wasathiyyah ialah menghormati simbol negara, menilai konteks dengan adil, dan menegur dengan hikmah.
Kesimpulan

Sikap wasathiyyah dalam isu bendera terbalik menuntut kita:

  1. Menghormati bendera sebagai simbol maruah dan penyatuan.
  2. Menilai dengan adil sebelum menghukum (Surah al-Hujurat: 6).
  3. Menegur dengan hikmah dan beradab (Surah al-Nahl: 125; HR. Muslim).
  4. Mengelak sikap EKSTREM; EKSTREM menghukum atau EKSTREM meremehkan (Surah al-Baqarah: 143).
  5. Menimbang maslahah dan mafsadah agar tidak membuka ruang kepada kerosakan yang lebih besar.

Bahaya meremehkan isu ini ialah ia boleh menimbulkan persepsi bahawa kita tidak sensitif terhadap maruah negara.

Namun, bahaya terlalu menghukum pula ialah ia boleh melahirkan fitnah, perpecahan, dan tuduhan melulu.

Jalan terbaik adalah menghormati bendera, menjaga sensitiviti, menilai dengan adil, serta menegur dengan berhikmah. Inilah wajah sebenar wasathiyyah dalam Islam.

*DATUK DR. FATHUL BARI merupakan Ketua UMNO Bahagian Kangar.

BACA JUGA Ke mana RM1.2 juta hasil derma pondok terbakar? Banyaknya kereta mewah dan isteri ustaz ini