IMF pula naikkan unjuran ekonomi Malaysia, ini ikrar Menteri MITI

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus berusaha untuk meningkatkan perdagangan untuk menarik pelaburan berkualiti agar rakyat dapat menikmati lebih banyak peluang pekerjaan.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi hantaran video di media sosial memaklumkan bahawa Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menaikkan unjuran ekonomi Malaysia kepada 4.8 peratus.

“Satu demi satu institusi antarabangsa menyuarakan keyakinan terhadap prospek ekonomi Malaysia.

“Sebelum ini, Bank Dunia naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2024 kepada 4.9 peratus daripada unjuran asal 4.3 peratus pada April lepas.

“Sekarang ini, IMF pula naikkan unjuran ekonomi Malaysia kepada 4.8 peratus daripada unjuran asal 4.4 peratus.

“Jadi, kita berada di landasan yang betul.

“Insya-Allah, MITI akan terus berusaha untuk meningkatkan perdagangan untuk menarik pelaburan berkualiti bagi memastikan rakyat Malaysia menikmati lebih banyak peluang pekerjaan yang bergaji tinggi,” kata Tengku Zafrul.

Lebih kuat daripada jangkaan

IMF dalam World Economic Outlook Update Julai 2025 menaikkan unjuran pertumbuhan Malaysia kerana prestasi ekonomi yang lebih kuat daripada jangkaan.

Ia disokong oleh persekitaran ekonomi global yang lebih menggalakkan, kadar tarif efektif yang lebih rendah, perbaikan kondisi kewangan, serta langkah fiskal di negara besar sekaligus mencipta suasana yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Pada 8 Oktober 2024, Bank Dunia meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9 peratus berbanding ramalan awal 4.3 peratus.

Ketua Ekonomi Bank Dunia Malaysia, Apurva Sanghi berkata, kedua-dua faktor domestik dan luaran menyokong unjuran pertumbuhan yang dinaik taraf.

Di peringkat domestik, kestabilan politik Malaysia dan persekitaran positif yang semakin kondusif adalah antara faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh.

Keadaan tersebut telah meningkatkan keyakinan pelabur dan menggerakkan lebih banyak pelaburan di negara ini.

Dalam masa sama, Apurva turut menekankan bahawa pertumbuhan keluaran per kapita Malaysia, yang digunakan untuk mengukur kebajikan, adalah 12 peratus lebih tinggi daripada tahap pra-pandemik, mengatasi prestasi rakan sebaya ASEAN.

Mengikut andaian kadar pertukaran USD/MYR sebanyak 4.54 dan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 4.3 peratus, Bank Dunia menjangkakan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2028, iaitu dalam unjuran 2021 sebelumnya bahawa ia akan berlaku antara 2024 dan 2028.

Namun, Apurva memberi amaran bahawa pendapatan tinggi tidak semestinya bermaksud pembangunan tinggi dan risiko pembalikan sentiasa wujud.

“Jika kadar pertukaran ringgit Malaysia kekal pada paras semasa kira-kira 4.2 dan matlamat pendapatan tinggi yang dicapai adalah setahun lebih awal pada 2027, ini adalah berita baik.

“Seperti yang saya katakan, ekonomi Malaysia berada di tempat yang baik, tetapi pendapatan tinggi tidak sama dengan pembangunan tinggi.

“Pertama sekali, sentiasa ada risiko, walaupun Malaysia akan mencapai pendapatan tinggi, katakan, pada 2027 atau 2028, jika anda melihat negara seperti Argentina, Rusia, Venezuela, negara-negara ini telah mencapai pendapatan tinggi.

“Namun, disebabkan pengurusan fiskal makro yang lemah, disebabkan oleh pengurusan eksport dan hasil komoditi yang lemah, diganggu kembali kepada standard pendapatan sederhana,”kata Apurva lagi.

BACA JUGA RON95 kekal RM2.05, RON97 dan diesel naik 3 sen seliter hingga 3 September ini