Nilaikan realiti, bukan retorik PSB
Isu yang dibangkitkan mengenai Akta PSB kononnya “menindas minoriti” kerana jiran-jiran boleh memutuskan penjualan rumah kita, sebenarnya perlu dilihat dengan lebih adil.
Hakikatnya, di bawah sistem sedia ada, walaupun tidak mendapat 100% persetujuan pemilik, kerajaan tetap mempunyai kuasa melalui Akta Pengambilan Tanah untuk melaksanakan pengambilan paksa.
Contoh paling jelas ialah Residensi Kerinchi. Pada masa itu 92.4% pemilik bersetuju, manakala 7.6% menolak. Selepas beberapa rundingan gagal, kerajaan akhirnya menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk meneruskan projek.
Ini membuktikan bahawa prinsip “minoriti akur kepada majoriti” sudah lama wujud dalam amalan pembangunan semula bandar.
Adakah pembaharuan bandar diperlukan?
Jawapannya: Ya
Kerana realitinya, banyak flat lama menghadapi masalah seperti:
bangunan usang, paip bocor, penduduk tidak mampu membayar caj penyelenggaraan, JMB kekurangan dana untuk baik pulih. Kerajaan pula tidak mampu menanggung kos penyelenggaraan semua perumahan awam dan swasta.
Masalah ini nyata dan berterusan.
Malah, pada tahun 2022, pemimpin PAS sendiri, Dato’ Iskandar Abdul Samad, pernah menyokong cadangan Akta Pembangunan Semula dalam artikel beliau di Harakah Daily.
Isu utama sebelum PSB
Sebelum ini, tiada undang-undang yang jelas menetapkan berapa peritus persetujuan diperlukan.
70%? 80%? 95%? Atau 100%?
Ketiadaan garis panduan ini membolehkan kerajaan menetapkan ambang sesuka hati.
Sebagai contoh, walaupun Residensi Kerinchi mendapat 92% persetujuan, kerajaan masih boleh menetapkan syarat setinggi 95% atau serendah 51% — bergantung kepada keputusan kerajaan semasa.
Kenapa PSB penting?
Kita perlu menerima hakikat bahawa dunia sebenar bukanlah dunia ideal. Dalam pembangunan semula, sudah tentu akan ada pihak yang mencari keuntungan.
Kawasan-kawasan lama yang strategik mempunyai nilai ekonomi yang tinggi, dan ini menjadikan ia sangat menarik kepada pemaju.
Persoalannya: Siapa yang harus membela nasib rakyat? Siapa pula yang mengawal pemaju atau mana-mana syarikat terlibat?
Jawapannya jelas: kerajaan.
– Melalui PSB, garis panduan ini diperincikan dengan jelas:
Hanya dengan 75%–80% persetujuan pemilik, barulah pemaju boleh memulakan proses pembaharuan.
– Fungsi Kerajaan Persekutuan: menasihati negeri, menetapkan piawaian pemaju, memantau laporan projek dan melindungi kepentingan pemilik.
– Fungsi Kerajaan Negeri: mengesahkan cadangan, mengisytiharkan kawasan pembaharuan melalui gazette, meluluskan pemaju yang layak, serta menyelia pelaksanaan projek dan lain-lain lagi.
Peranan ini jelas ditetapkan dalam PSB, berbeza dengan undang-undang lama yang kabur.
Persoalan sebenar
Jika anda berpendapat ambang 75%–80% terlalu rendah, anda boleh cadangkan angka lain — 85%? 90%? Atau kekalkan 100%?
Tetapi, jika kita menolak terus kewujudan ambang ini, kesannya jauh lebih serius:
Kerajaan akan terus bebas menggunakan kuasa pengambilan tanah tanpa had dan tanpa garis panduan yang jelas.
Pemilik yang mahu pembaharuan — yang mengimpikan rumah lebih bersih, selesa dan moden — akan terus terperangkap tanpa pilihan.
Maka, persoalan sebenar bukanlah sama ada PSB menindas minoriti, tetapi adakah kita mahu ada garis jelas untuk melindungi semua pihak, atau membiarkan kuasa kerajaan kekal mutlak tanpa sempadan?
Jika pembaharuan bandar sememangnya diperlukan, maka kita memerlukan sebuah akta yang jelas untuk melindungi semua pihak.
Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan pembangkang seharusnya berbahas secara rasional bagi menetapkan ambang persetujuan yang munasabah dan boleh diterima semua.
Bukan dengan cara memutarbelit isu kononnya Kerajaan Perpaduan mahu merampas tanah rizab Melayu atau mengusir golongan berpendapatan rendah.
Sekiranya suatu akta yang penting ini gagal diluluskan hanya kerana manipulasi politik berasaskan kaum, maka hilanglah satu mekanisme penting untuk melindungi hak pemilik asal. Dan itulah sebenarnya satu kerugian yang jauh lebih besar.
PANG SOCK TAO ialah penolong setiausaha publisiti DAP kebangsaan dan ADUN Kuala Kubu Baharu.