Tuduh Teo Nie Ching tukar sukatan sejarah, bekas wartawan kena bayar RM200,000 sebagai ganti rugi
Bekas wartawan Yazid Omar diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membayar ganti rugi RM200,000 kerana membuat tohmahan bahawa Ahli Parlimen Kluang Teo Nie Ching telah menukar sukatan buku teks sejarah Tingkatan 4 untung mengagungkan komunisme.
Di samping itu, Hakim Alice Loke turut mengarahkan Yazid membayar faedah tahunan 5 peratus ke atas ganti rugi tersebut.
Yazid juga dikehendaki membayar kos guaman RM30,000 kepada Teo yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pendidikan.
Yazid mendakwa Teo mengarahkan pegawai kementerian supaya menukar kandungan buku teks sejarah Tingkatan 4 untuk mengagungkan komunis.
Teo menafikan dakwaan tersebut kerana tidak pernah terlibat dalam penyediaan draf dan percetakan buku teks.
Loke memutuskan bahawa Teo berjaya membuktikan elemen fitnah, manakala Yazid, yang ketika itu timbalan pengerusi sebuah gabungan NGO, gagal membuktikan pembelaan beliau termasuk justifikasi, komen adil dan keistimewaan bersyarat.
Hakim turut memutuskan kenyataan Yazid dibuat dengan niat jahat.
“Saya menyambut baik keputusan ini kerana akhirnya keadilan ditegakkan dan nama saya dibersihkan daripada tuduhan tidak berasas ini,” kata Teo, yang juga timbalan menteri komunikasi, dalam satu hantaran di Facebook.
Teo diwakili peguam Syahredzan Johan, yang juga Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, dan Amanda Wong.