Bantuan SARA boleh dibelanja di 4,600 kedai bermula 31 Ogos ini
Bermula 31 Ogos ini, bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara sekali beri boleh dibelanjakan di 4,600 kedai terpilih seluruh negara bagi membeli barangan asas.
Jumlah itu menyaksikan pertambahan bilangan kedai terpilih di seluruh negara untuk membelanjakan bantuan SARA, berbanding 4,100 kedai yang diumumkan sebelum ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa individu berusia 18 tahun ke atas yang ingin menyemak baki bantuan SARA boleh melakukannya melalui pautan rasmi di sara.gov.my.
“Setiap orang dewasa berusia 18 tahun ke atas akan mendapat RM100 yang dimasukkan ke dalam MyKad dan boleh dibelanjakan di 4,600 kedai terpilih seluruh negara.
“Kalau kita teliti dalam media sosial, ada yang tidak tahu pun mereka layak menerima RM50 sebulan di bawah program SARA, maka ini peluang yang baik untuk semua yang berusia 18 tahun ke atas membuat semakan, untuk melihat jumlah baki.
“Mereka juga boleh menyemak baki di laman web rasmi MyKasih,” kata Fahmi pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
BACA JUGA Jakarta semakin ‘panas’, kematian pemuda dilanggar polis pacu amarah ribuan demonstran