FGV kembali ke pangkuan Felda: Apa selepas ini?
Oleh SYIRFAN INDRA MITRA SURYA HUSSIN
Saya sendiri tidak pasti bagaimana hari ini harus diingati oleh semua warga peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Serius saya tidak pasti.
Dalam seminggu dua ini, media melaporkan detik-detik penting dan rinci apa yang berlaku di pasaran hingga FGV Holdings Bhd (FGV) telah rasmi keluar daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia berkuatkuasa jam 9 pagi semalam selepas syarikat digantung dagangan sejak 25 ogos lalu.
Felda kini memiliki lebih 90% daripada keseluruhan saham FGV. Dalam kata mudah, FGV kini milik Felda.
Dalam dua kenyataan media berasingan – Felda dan FGV menzahirkan persamaan makna – ia adalah langkah strategik untuk semua pemegang taruh. Pemegang taruh utama pastinya – Peneroka!
Usaha yang panjang
Usaha Felda untuk memastikan FGV kembali ke pangkuan ini berlangsung lama. Beberapa tahun sebelum saya menapak di Menara Felda, sudah kedengaran usaha itu.
Hanya enam bulan kebelakangan ini – sejak Pengarah Besar Felda yang baharu bertapak di Menara Felda, usaha ini menjadi semakin serius dan semua bergerak ke arah itu.
Sudah 556 hari (setakat 28 Ogos 2025) saya di Menara Felda – saya saksi hidup melihat kesungguhan Pengurusan Kanan (daripada Pengerusi Felda hingga ke Pengarah-Pengarah Jabatan) memusatkan usaha ini agar ia menjadi hadiah paling Istimewa di Hari Peneroka 2026.
Ia bukan usaha mudah. Malah, kadang-kala dilihat hampir mustahil.
Meyakinkan semua pihak yang berkepentingan dengan beban keyakinan dan kewangan yang mencabar, menjadikan proses ini satu kajian kes yang baik dan jika mahu divisualkan, ia boleh jadi dokumentari yang menarik untuk rujukan masa depan.
Apa selepas ini?
Saya fikir hari ini bukan masa untuk bercakap tentang masa lalu.
Cukuplah. Anggaplah ia sebagai sejarah yang mendidik. Hari ini wajar kita berfikir tentang apa selepas ini.
Dalam perbincangan bersama rakan kerja di Felda, sahabat di tanah rancangan, ayah bonda peneroka mahupun media, naratif saya masih sama.

Tiada jaminan bahawa dengan kembalinya FGV ke Felda ia akan menghasilkan magis sekelip mata. Keuntungan akan berlipat kali ganda. Tiada akan berlaku cerita begitu.
Berjaya atau tidak bergantung kepada usaha sederap kaki. Semua kena laksanakan sama-sama. Ya, sama macam dulu-dulu.
Jika dulu pengurusan dan peneroka Felda sama-sama buat ladang, bina komuniti, bina koperasi, buat jalan, susun organisasi, buat polisi dan sebagainya. Kali ini pun sama. Kena buat sama-sama.
Tiada yang mendapat imuniti berpeluk tubuh. Bukan sekadar menyinsing lengan baju bersama. Semua kena berpeluh sama sekali lagi.
Ini seruan untuk semua. Dari peneroka hingga kepada generasi kelima Felda sekarang. Dari angka 112,638 peneroka hingga hampir tiga juta generasi Felda, dari pengurusan hingga ke buruh ladang.
Daripada 317 tanah rancangan dan 11 wilayah. Dari sekian banyakkan anak syarikat. Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP), Kami Anak Felda (KAF), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Persatuan Siswa Anak-anak Felda (Persada) semua kena ada sama. Tiada yang berkecuali.
Ini sahaja ramuan asas untuk berjaya. Ramuan yang sama sejak 69 tahun yang lalu. Buat sama-sama!
Diingati
Tahun hadapan genap 70 tahun Felda. Bagaimana untuk Felda diingati selepas 70 tahun membina tanah bertuah ini?
Bagaimana mahu kita diingati?
Untuk semua warga FELDA, berbanggalah untuk hari ini. Esok kita usaha lagi.
Kita bina organisasi yang pernah dilabel terbaik dunia ini dengan kematangan yang luar biasa – kerana kita pun bukan versi biasa-biasa. Ekosistem kita luar biasa.
Hasil ladang kita untuk dunia!
Nota: Ini adalah pandangan peribadi yang tidak mewakili mana-mana organisasi.
*SYIRFAN INDRA MITRA SURYA HUSSIN merupakan Pengarah Komunikasi Strategik Felda dan juga anak peneroka Felda Lui Timur di Jempol, Negeri Sembilan.
BACA JUGA RUU Pembaharuan Semula Bandar: Antara fakta dan auta