Jimat belanja harian warga Lembah Klang, EKVE beri laluan percuma selama sebulan
Pengguna Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) bakal menikmati tol percuma selama sebulan bermula esok.
Perdana Menteri mengumumkan perkara itu pada Majlis Perasmian Pembukaan EKVE Seksyen Satu Persimpangan Bertingkat Sungai Long- Persimpangan Bertingkat Ampang hari ini.
Lebuhraya EKVE Seksyen Satu sepanjang 39.66 kilometer itu merupakan lebuh raya dua lorong dua hala.
Terdapat empat persimpangan bertingkat yang menghubungkan Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat, Ampang dengan empat plaza tol dan dua hentian sebelah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran tol akan dikecualikan bermula jam 6 pagi esok hingga jam 11.59 malam 30 September depan sempena sambutan bulan kemerdekaan.
Beliau berharap pembinaan jajaran Seksyen 2 Lebuhraya EKVE dapat disiapkan segera demi kemudahan rakyat dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Saya berharap Menteri dan KSU dapat memantau dan memastikan projek-projek berjalan dengan baik mengikut jadual supaya mutu projek itu memenuhi matlamat asal kita.
“Bukanlah kita nak cepat, tapi mutu pembangunan itu sangat penting,” tegas Perdana Menteri.
Jajaran Lebuhraya EKVE menyediakan laluan alternatif yang lebih mudah bagi pengguna dari Kajang dan Semenyih ke Hulu Langat, Bandar Mahkota Cheras dan Ampang, serta sebaliknya.
Pengguna dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Ampang ke Sungai Long-Kajang dan sebaliknya sehingga 20 minit.
BACA JUGA Bantuan SARA boleh dibelanja di 4,600 kedai bermula 31 Ogos ini