Pas anggap rakyat menang RUU Pembaharuan Semula Bandar tidak dibahas
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari diihat gembira apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) tidak dibahaskan semalam sebelum ditangguhkan dan dibawa ke persidangan berikutnya.
Ketua Penerangan Pas berkenaan menganggap rakyat menang sekaligus menyeru penentangan terhadap RUU PSB diteruskan.
“Satu lagi kemenangan kepada rakyat! Teruskan menentang,” katanya di Facebook semalam.
Selain Pas, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) juga membantah RUU PSB 2025 yang dibentang untuk bacaan kali kedua semalam.
Beberapa Ahli Parlimen PKR turut menuntut supaya RUU tersebut ditangguhkan, antaranya Wong Chen (Subang) dan Hassan Karim (Pasir Gudang).
Timbalan Pengerusi BN yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan Ahli Parlimen parti itu mahu supaya RUU PSB ditangguhkan sementara.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mereka mengadakan mesyuarat bersama Ahli Parlimen BN.
Disambung semula
RUU PSB telah pun dibaca untuk kali pertama di Dewan Rakyat pada 21 Ogos lalu oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Semalam, RUU itu yang dibentang untuk bacaan kali kedua telah ditambah baik dengan menaikkan nilai ambang persetujuan untuk diseragamkan ke paras 80 peratus.
Bagaimanapun, sesi perbahasan RUU tersebut akan disambung semula pada persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-15 2025 yang akan berlangsung Oktober depan.
Sidang Dewan Rakyat seterusnya akan berlangsung selama 35 hari mulai 6 Oktober hingga 4 Disember depan.
BACA JUGA Anwar terkejut kain samping terbalik, netizen berseloroh mujur Akmal tak nampak