PMX sekali lagi bersama ribuan tokoh Islam, pemimpin agama dunia
Sekali lagi Perdana Menteri membuktikan beliau bukan sahaja dekat dengan rakyat tetapi juga rapat dengan golongan agamawan berbeza dengan Pas yang berterusan menabur fitnah.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan kira-kira 1,500 peserta dari dalam dan 54 negara luar sempena Persidangan Antarabangsa Pemimpin Agama 2025 kali kedua di Petaling Jaya.
Peserta terdiri daripada kalangan ulama, cendekiawan, pemimpin politik, ahli parlimen, ahli akademik dan tokoh agama Islam serta bukan Islam dari dalam dan luar negara.

Persidangan bertemakan “Peranan Pemimpin Agama Dalam Penyelesaian Konflik” itu dianjurkan bersama Liga Muslim Sedunia (Rabitah al-Alam al-Islami) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sekali gus mengangkat Malaysia sebagai pusat penting perbincangan ilmiah dunia Islam.
Berucap di hadapan para sarjana, Perdana Menteri menegaskan pemimpin agama perlu lebih asertif iaitu tegas tetapi berhemah bukannya agresif dalam menyeru mesej keadilan, kemanusiaan dan kesejahteraan masyarakat.
“Perbezaan antara agama atau sesama agama tidak boleh menghalang usaha membina masyarakat seimbang dan semangat Ummatan Wasata,” katanya menerusi catatan di Facebook rasmi beliau.

Dalam persidangan selama sehari yang turut dihadiri Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL), Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa itu, Anwar turut menekankan gagasan maqasid al-syariah yang dibawa ulama besar seperti Imam al-Syatibi, yang mengutamakan perlindungan maruah, nyawa dan harta.

Jelasnya, ini membuktikan Islam bukan sekadar retorik politik, tetapi agama yang menegakkan nilai kemanusiaan sejagat.
“Semoga persidangan ini memberi manfaat dan meningkatkan tekad kita bersama dalam mengangkat nilai kemanusiaan dan kesejahteraan.

“Malaysia akan berbuat sedaya upaya yang ada dalam mendukung inisiatif begini untuk kepentingan Bersama,” kata Anwar lagi.
Mencari penyelesaian
Kehadiran Perdana Menteri bersama para ulama dunia bukti bahawa Anwar memilih untuk berdialog dengan tokoh-tokoh ulama antarabangsa bagi mencari penyelesaian kepada cabaran umat.
Persidangan itu sekaligus juga menjadi bukti bahawa Ketika ada parti menjadikan agama sebagai modal politik murahan, Perdana Menteri sebaliknya mengangkat agama sebagai wahana memperkukuh nilai, keadilan dan kesejahteraan sejagat.

Kali pertama Persidangan Antarabangsa Pemimpin Agama diadakan adalah pada 7 Mei 2024 di ibu negara dengan tema “Menggalakkan Keharmonian Antara Agama Dalam Kalangan Penganut”.
Persidangan itu dihadiri kira-kira 2,000 tokoh agama serta intelektual dari 57 negara.

BACA JUGA Anwar terkejut kain samping terbalik, netizen berseloroh mujur Akmal tak nampak