PSB: Adakah PN suka kepada kemunduran?

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil menempelak Perikatan Nasional (PN) sebagai takut kepada pembangunan kerana pemikiran pembangkang yang tidak mempunyai idea progresif dan suka kepada kemunduran.

Beliau berkata, PN yang tidak mendiami kawasan rumah pangsa yang buruk membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 dengan mengeksploitasi isu perkauman.

“Sudah pasti pemilik yang tinggal di flat yang usang dan kotor bersetuju dengan PSB, cuma pembangkang yang tidak tinggal di situ membantah dengan menunggang api sentimen perkauman kerana terdesak untuk menjatuhkan kerajaan.

“Jika mereka tidak berniat menjatuhkan kerajaan, tidaklah cadangan PSB ini disokong oleh pemimpin Pas ketika menjadi kerajaan dahulu.

“Inilah sikap munafik pembangkang atau PN,” tegas beliau menerusi kenyataan hari ini.

Kekuatan orang Melayu

Faiz menegaskan bahawa PSB digubal bagi meningkatkan kekuatan orang Melayu di bandar terutama perumahan flat dan sama sekali tidak akan menghalau penduduk dari kawasan mereka.

“PSB ini, selepas dilaksanakan, memberikan pampasan “satu untuk satu”.

“Ini bermaksud penduduk asal terlibat akan diberikan rumah baharu secara percuma di tapak yang sama, cuma pembinaan baharu yang pasti lebih selesa dan bernilai.

“Misalnya, rumah lama bernilai RM70,000 akan digantikan dengan rumah baharu bernilai RM400,000 tanpa sebarang bayaran daripada pemilik termasuk orang Melayu,” kata beliau.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir di Pulau Pinang itu berkata, masyarakat Melayu semakin ramai berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi dengan populasi yang tinggal di bandar semakin meningkat.

“Dasar Melayu dipisahkan dari bandar sebelum ini adalah dasar penjajah yang perlu dihentikan.

“Apabila mereka tinggal di bandar, mereka (bukan pemilik asal) mampu untuk membeli rumah baharu yang dibina kelak.

“Maka, penguasaan orang Melayu di bandar akan meningkat dan ini seterusnya memberikan peluang kepada lebih ramai orang Melayu memiliki aset yang selesa dan bernilai di bandar.

“Janganlah memperlekehkan orang Melayu yang semakin berduit konon tidak mampu membeli rumah di bandar,” tegasnya.

‘Kerajaan yang mendengar’

Semalam, RUU PSB yang dibentang untuk bacaan kali kedua telah ditambah baik dengan menaikkan nilai ambang persetujuan untuk diseragamkan ke paras 80 peratus.

Bagaimanapun, sesi perbahasan RUU tersebut akan disambung semula pada persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-15 2025 yang akan berlangsung Oktober depan.

Mengulas penangguhan itu, Faiz berkata, AMANAH menyokong keputusan kerajaan sebagai satu tindakan yang wajar dengan tekad untuk penambahan beberapa input penting yang telah dibangkitkan pelbagai pihak sebelum ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyifatkan penangguhan tersebut menunjukkan Kerajaan Madani sebuah “kerajaan yang mendengar”.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan dan pemaju menyediakan satu langkah konkrit memastikan orang Melayu yang bukan pemilik asal terutama golongan muda diberikan keutamaan untuk membeli unit rumah baharu pada harga yang kompetitif.

Dasar itu, jelasnya, menghilangkan kebimbangan orang Melayu daripada termakan dakyah tipu pembangkang yang kononnya membela Melayu, tetapi sanggup melihat orang Melayu hidup dalam kesusahan dan kesengsaraan.

BACA JUGA Dah kali kelima, Segamat sekali lagi dilanda gempa bumi