AMANAH gesa kajian menyeluruh gegaran gempa di Segamat

Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan menggesa agensi berkaitan supaya segera menjalankan kajian secara mendalam berhubung gegaran gempa yang dilaporkan kerap berlaku di Segamat dalam tempoh seminggu ini.

Beliau berkata, agensi terlibat perlu mengambil tindakan segera termasuk membuka bilik gerakan, walaupun sementara, bagi meninjau dan membuat siasatan khusus terutama melibatkan penduduk yang tinggal paling hampir dengan lokasi kejadian.

“Langkah ini penting supaya data yang diperoleh dapat dianalisis dengan tepat dan seterusnya dijadikan panduan bagi menjaga keselamatan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada jam 7.29 pagi tadi, gempa bumi lemah berukuran 2.7 pada skala Richter menggegarkan Segamat, sekali gus menjadi yang terbaharu dalam siri gegaran yang melanda daerah itu sepanjang minggu ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, gempa itu dikesan pada koordinat 2.5° Utara dan 102.8° Timur, kira-kira 2 kilometer barat laut Segamat, pada kedalaman 10 kilometer.

Mengulas lanjut, Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading turut menekankan kepentingan pihak berkuasa memberi penerangan bersemuka kepada masyarakat di kawasan terjejas mengenai maklumat keselamatan sekiranya berlaku gegaran susulan.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan supaya pendidikan mengenai langkah keselamatan ketika berlakunya gempa bumi diberikan kepada masyarakat, termasuk latihan kecemasan seperti yang dilakukan dalam latihan kebakaran.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor itu berkata, keutamaan harus diberikan kepada aspek keselamatan dan kesedaran awam agar penduduk tidak panik dan tahu tindakan yang wajar diambil jika berdepan sebarang bencana.

BACA JUGA Tiga kejayaan tidak didendang Malaysia ini sering diabai, Bank Dunia anggap pencapaian ‘sangat luar biasa’