Ini penegasan PMX dalam Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025
Menjelang ulang tahun Hari Kebangsaan ke-68 esok, Perdana Menteri menegaskan bahawa tidak ada negara yang boleh bertahan jika menerima hasutan kebencian antara kaum.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan memecah-belahkan negara ini berdasarkan kaum, kabilah dan wilayah mesti dihalang dengan keras dan tegas.
“Berilah cadangan apa pun, termasuk mutakhir ini, pembangunan semula bandar masih dilihat dari segi kaum, masih ditanam dan dihasut rasa takut.
“Kita tidak boleh mengenepikan kepentingan kaum masing-masing.
“Apa pun saya bicarakan, saya tetap Melayu, saya bangga dengan bahasa saya, bahasa Melayu dan kehebatan budaya Melayu yang agung. Tapi tidak wajar kebanggaan ini meremehkan, memadamkan, apa lagi menghina yang lain.
“Sebab itu, ini bukan ‘zero sum game’, bukan memilih untuk memperhebat kekuatan Melayu dan menghina yang lain atau pun dalam kalangan masyarakat Cina.
“Menyatakan keagungan budaya dan tamadun mereka ribuan tahun dan cuba meminggirkan seolah-olah negara ini tidak ada asas kekuatan, bahasanya dan budayanya atau pun dalam kalangan masyarakat India, ” tegas Ahli Parlimen Tambun itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang hari ini.
Pecahkan kartel puluhan tahun
Dalam masa sama, Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan MADANI berjaya memecahkan kartel puluhan tahun membabitkan barangan keperluan rakyat.
Menurutnya, usaha kerajaan memerangi segala bentuk kecurangan terhadap negara tidak pernah padam meskipun diakui masih banyak perkara perlu diperbaiki.
Jelasnya, isu membabitkan rakyat, termasuk pendidikan, kesihatan dan harga barang tidak pernah terlepas daripada dibincangkan dalam setiap mesyuarat Jemaah Menteri dan mencari jalan untuk menanganinya.
“Kerajaan MADANI memecahkan tembok kartel dan kita terus berperang. Saya panggil penguat kuasa dan katakan perangi mereka, perangi kartel dan kumpulan yang menggunakan cara haram dan khianat untuk merosakkan negara ini. Kita tidak tolak ansur.
“Kartel ayam kita pecahkan. Sudah berapa lama? Sudah puluhan tahun, mampu kita pecahkan, disebabkan tekad politik dan semangat rakan-rakan dalam bidang penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan semua.
“Apakah sudah sempurna? Tidak. Apakah sudah mampu kita hentikan penyeludupan? Tidak, masih ada dan sebab itu semangat kemerdekaan ini bermakna tekad kita merdeka dan melepaskan negara daripada segala bentuk kecurangan, rasuah dan kegiatan haram,” kata Anwar lagi.
BACA JUGA Pengalaman pahit di tahfiz tidak berdaftar, ibu bapa usah ulangi kesilapan sama