Sanaa diserang lagi, Israel dakwa PM dan beberapa pemimpin Yaman terbunuh

Israel melancarkan beberapa serangan udara terbaharu ke atas ibu negara Yaman, Sanaa pada 28 Ogos lalu dengan menyasarkan ketenteraan kumpulan Houthi.

Tentera rejim penjajah itu dalam satu kenyataan berkata, pasukannya telah menyerang “sasaran ketenteraan rejim pengganas Houthi di kawasan Sanaa”, dipetik Al Jazeera.

Menurut media dan sumber anti-Houthi, Perdana Menteri, Ghalib al-Rahawi yang tidak diiktiraf antarabangsa, dilaporkan terbunuh dalam serangan ke atas sebuah apartmen di kawasan Bayt Baws di Sana’a.

Sementara itu, lapor The Jerusalem Post, ada kemungkinan bahawa Menteri Pertahanan Houthi, Mohammad Nasser al-Athifi dan Ketua Staf, Mohammad Abd al-Karim al-Ghamari, turut terbunuh dalam serangan Tentera Udara Israel (IAF) itu.

Tiada kenyataan rasmi mengenai kematian tiga pemimpin Houthi itu dikeluarkan manakala media Israel menekankan bahawa status mereka terbabit masih belum diketahui setakat ini.

Walau bagaimanapun, pegawai Houthi, Nasr al-Din Amer, menafikan laporan media Israel bahawa serangan tersebut menyasarkan pemimpin kumpulan itu, termasuk Menteri Pertahanan dan Ketua Staf terbabit.

“Apa yang berlaku ialah penyasaran terhadap objek awam dan seluruh rakyat Yaman akibat pendirian mereka yang menyokong Gaza,” katanya menerusi aplikasi X.

Pada 24 Ogos lalu pula, sekurang-kurangnya 10 orang maut manakala lebih 90 orang cedera akibat serangan besar Israel, menurut pegawai kesihatan Houthi.

Ketika itu, Israel dilapor menyerang sebuah kompleks ketenteraan di mana terletak istana presiden, sebuah depot simpanan bahan api dan dua stesen janakuasa.

BACA JUGA Pesanan terakhir korban tular, gedung majlis perbandaran musnah diratah api