Mujahid pertegas pentingnya membumikan Madani
Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan perlunya usaha untuk membumikan Madani dalam kehidupan pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu menegaskan tidak timbul masalah apabila Lembaga Tabung Haji (TH) melantik syarikat bukan Muslim bagi tujuan penjenamaan semula institusi itu.
Beliau berkata, perkara tersebut telah menimbulkan kekecohan baru-baru ini, namun jika diteliti dari sudut syariah, hukum jelas menyatakan bahawa dalam hubungan muamalat, tidak ada halangan untuk bekerjasama dengan pihak bukan Muslim.
“Kalau kita kembali kepada konsep syariah, yang jelas menyebut kata bahawa dalam hubungan muamalat, tidak ada masalah.
“Kita buat apa sahaja yang dirasakan sesuai dan betul, melainkan ada dalil yang mengharamkannya,” tegas Mujahid dalam persidangan Dewan Negara, 28 Ogos lalu.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan berkata, masyarakat perlu memahami perbezaan antara urusan ibadat dan muamalat agar tidak mudah terpengaruh dengan persepsi negatif yang boleh menjejaskan institusi Islam.
“Heboh isu Tabung Haji lantik syarikat bukan Islam untuk buat penjenamaan semula. Apa isunya?
“Jadi, di negara kita ini, kita tidak boleh berhubung dengan bukan Islam hanya kerana nama institusi itu Islam – Tabung Haji?
“Begitukah? Kita mahu ikut hawa nafsukah? Kita nak ikut panduan syariat? Itu yang (perlu berpandukan) maqasid.
“Kalau syariat kata tak boleh, tak bolehlah tapi kalau syariat kata boleh, kita kata tak boleh kerana sentimen emosi, maka (semangat) madani itu belum membumi dalam kalangan rakyat,” Mujahid lagi.
BACA JUGA Pengalaman pahit di tahfiz tidak berdaftar, ibu bapa usah ulangi kesilapan sama