‘Pakar IT nampak sangat genius’, penghujung ‘Keranamu Malaysia’ ini memang tak sangka
Satu video parodi dilatari lagu ‘Keranamu Malaysia’ mungkin boleh menyebabkan penyokong Perikatan Nasional (PN) ‘murung’ menjelang sambutan Hari Kebangsaan kali yang ke-68 ini.
Apa tidaknya, beberapa figura menyerupai pemimpin PN hasil janaan kecerdasan buatan (AI) muncul serentak dengan subjek yang menghiasi senikata karya penulis tersohor tanah air, Habsah Hassan itu.
Antara yang menarik perhatian penonton adalah kemunculan imej mirip Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sejurus tiba lirik yang menyebut ‘pakar IT’.
“Suka yang pakar IT tu. Nampak sangat genius,” komen netizen selain ada yang turut secara sinis mengagumi ‘jaguh sukan’ dengan paparan video aksi Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedang menghayun kayu golf.
‘Alam siber’ pula dilatari dengan kenyataan kontroversi Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang memperlekehkan usaha Perdana Menteri mendamaikan konflik bersenjata antara Thailand dan Kemboja.
Sindiran biadab Ahli Parlimen Pasir Mas yang heboh diperkatakan pada bulan lalu itu turut memaparkan karikatur kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang sementara monyet sebagai hakim.
Pas dan fitnah
Sementara itu, lirik ‘teknologi terkini’ pula diwakili dengan poster Pas dan fitnah berpisah tiada dengan barisan enam pemimpin parti itu yang pernah terjebak dalam kes saman fitnah.
Poster tersebut seterusnya diganti dengan laporan berita berkenaan pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff yang diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM400,000 kepada Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Hannah Yeoh.
Video seterusnya menonjolkan imej AI seorang gadis menyentuh air berkelodak dalam tangki dipercayai merujuk krisis bekalan air bersih di Kelantan yang diperintah Pas selama 35 tahun berturut-turut.
Beralih kemudiannya kepada imej-imej menyerupai Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Tun Dr Mahathir Mohammad dan Tan Sri Mahiaddin Yassin.
Mereka masing-masing tersenyum lebar sambil bertepuk tangan dalam suasana himpunan Turun Anwar yang telah berlangsung pada 26 Julai lalu.
Namun, segala imej pemimpin PN berkenaan ‘dimatikan’ sebaik tiba lirik “Keranamu kami…” yang berturut-turut itu.
Paparan sejumlah klip video aksi bersahaja dan berseloroh Perdana Menteri muncul di penghujung video parodi itu.
Gaya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mesra rakyat dalam pelbagai majlis dan situasi menghiasi korus lagu gubahan Allahyarham Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah itu.
BACA JUGA Lagi Qunut Nazilah dibaca, lagi makmur negara dengan berita baik