Kena pukul, makan tak cukup, trauma di tahfiz tidak berdaftar masih membekas

Oleh DR NURUL FIRDAUS ALI

Saya sebahagian daripada generasi awal yang memasuki sekolah tahfiz tidak berdaftar.

Seawal usia 11 tahun, saya sendiri yang meminta untuk masuk kerana minat menghafal al-Quran. Saya sukakan al-Quran, dan saya tahu ayah saya juga gembira jika anaknya menjadi hafiz.

Namun, sebaik sahaja melangkah masuk ke tahfiz itu, segalanya berubah. Tempat itu ibarat ladang pembiakan “iblis”. Hampir setiap perkara berkait dengan hukuman.

Kesilapan kecil pun dihukum di hadapan orang ramai. Bacaan hafazan yang tidak lancar juga berakhir dengan pukulan. Peraturan terlalu banyak, sehingga kemungkinan untuk melakukan kesalahan sangat tinggi.

Jika pukulan tidak mencukupi, pelajar dihina dan dipulaukan. Ada yang dipinggirkan oleh seluruh asrama.

Malah, sesiapa yang tidak menyertai pemulauan turut dikenakan hukuman. Tiada siapa yang tersenyum di sana. Ustazah pula amat ditakuti — kebanyakannya seperti psiko­pat.

Mereka seolah-olah seronok menanam rasa takut dalam diri pelajar. Setiap kali bunyi rotan singgah ke badan pelajar, ada kepuasan pada wajah mereka.

Pukulan minimum tiga kali, yang paling banyak boleh cecah 50 kali atau lebih, semuanya atas nama agama. Siap dengan hadis palsu sebagai sokongan. Kehidupan di situ sungguh menyesakkan.

Bercampur air hujan

Dari segi kualiti hidup, hampir tiada apa-apa. Air bersih tidak tersedia, makanan pula sangat berkualiti rendah.

Pernah kami terpaksa makan lauk yang sudah bercampur dengan air hujan kerana lapar. Tiga ekor ikan kecil perlu dikongsi empat orang.

Itu sahaja yang mampu dibeli dengan peruntukan RM120 sebulan. Sedangkan kami remaja yang sedang membesar, tetapi dipaksa hidup dalam ruang sempit. Jika sekadar mengintai dunia luar sekalipun, hukuman menanti.

Lebih menyedihkan, tahfiz itu dianggap antara yang terbaik. Kami mendengar cerita yang jauh lebih ngeri dari tahfiz lain, khususnya asrama lelaki. Banyak perkara buruk berlaku, tetapi kebanyakannya disapu ke bawah karpet.

Biarlah orang menuduh saya menghina Islam, tetapi saya yakin Rasulullah SAW tidak akan bersetuju dengan kehidupan seperti itu.

Satu-satunya sebab saya masih bercakap tentang pengalaman ini ialah supaya ibu bapa tidak mengulangi kesilapan sama.

Pesanan saya:

Jangan hantar anak bawah umur ke asrama.

Jangan sekali-kali hantar anak ke tahfiz tidak berlesen.

Jika anak sukar dikawal, jangan jadikan tahfiz sebagai jalan pintas. Bawa mereka kepada kaunselor. Ingat, anak anda yang bermasalah boleh merosakkan hidup anak orang lain.

Trauma tidak hilang

Ada yang berkata, “Walaupun masuk tahfiz, awak tetap berjaya jadi doktor.” Benar, tetapi itu kerana saya mahu lari daripada kehidupan sebegitu.

Saya bekerja keras untuk keluar, tetapi trauma itu tidak hilang. Sampai hari ini saya masih bergantung pada ubat dan rawatan terapi.

Setiap kali berita tentang tahfiz tidak berlesen muncul, hati saya remuk. Ingatan buruk kembali.

Saya mengalami serangan panik pertama ketika berusia 11 tahun. Hidup saya penuh ketakutan, sentiasa berada dalam “mode flight”.

Psikiatri saya memberitahu kemungkinan besar saya perlu makan ubat sepanjang hayat kerana trauma itu berlaku ketika otak saya masih belum matang. Trauma membentuk cara fikir berbeza.

Mungkin saya masih bernasib baik. Kawan saya yang paling teruk dipukul kini meneruskan kitaran sama di tahfiz lain.

Dahulu saya pernah menyapu minyak panas di badannya akibat lebam satu tubuh, tetapi kini dia menjadi ustazah yang memukul anak orang lain tanpa rasa bersalah.

Bayangkan berapa ramai lagi yang lahir daripada sistem ini — sama ada menjadi psiko­pat atau menderita sakit mental seperti saya.

Jadi, beritahu saya: Kenapa masih mahu hantar anak ke tahfiz tidak berlesen?

BACA JUGA Tiga kejayaan tidak didendang Malaysia ini sering diabai, Bank Dunia anggap pencapaian ‘sangat luar biasa’