Gelombang Samudera satukan jiwa nelayan

OLEH: FAIZ FADZIL

Hari ini berlangsung program Gelombang Samudera 2025 sempena sambutan Hari Kebangsaan di Pantai Sri Tujoh, Tumpat, Kelantan.

Sambutan kali keempat selepas Kuala Jerlun, Kuala Muda, Muar ini diadakan setiap tahun dengan mengambil semangat kemerdekaan menghimpunkan nelayan dan keluarga setempat menyatukan jiwa-jowa yang cintakan negara dengan keahlian PNK Tumpat seramai 1,219 orang.

Saya menegaskan bahawa kemerdekaan tidak dicapai bergolek, ia menuntut satu perjuangan yang panjang dan pengorbanan yang tinggi para pejuang kemerdekaan. Sebagai generasi merdeka, menjadi tanggungjawab kita mengekalkan kemerdekaan ini dengan memastikan pembangunan mampan dan penguasaan ekonomi negara oleh anak watan.

Nelayan sebagai hero kami menjadi barisan hadapan mempertahankan kedaulatan negara dengan membanjiri lautan biru dan memastikan tangkapan ikan dimanfaatkan untuk rakyat Malaysia.

Justeru, saya menyeru nelayan untuk menguasai setiap nilaian rantaian perniagaan perikanan termasuk pemasaran, hiliran dan akuakultur bagi memberi erti sebenar kemerdekaan. Maka, agenda 1 Persatuan 1 Produk (1P1P) adalah gagasan memperkasakan kekuatan ekonomi golongan rentan ini.

Program hari ini dimeriahkan dengan konvoi bermotor, persembahan dikir barat, sukan rakyat, mewarna dan fesyen (anak kecil nelayan), kenduri rakyat, perarakan bot berhias dan cabutan bertuah. Kehadiran Ketua Pengarah Tn Hamdan Mamat dan pegawai dan kakitangan LKIM seluruh negara dan Ahli Lembaga Pengarah LKIM dan Nekmat menyerikan program yang cukup meriah ini.

Saya ucapkan setinggi penghargaan kepada urusetia dari LKIM Ibupejabat dan seluruh warga LKIM kelantan yang bertungkus lumus menjayakan program besar ini.

Kelantan tidak asing dengan perikanan dan jumlah pendaratan ikan di Kelantan sebanyak 13,612 metrik tan bagi tahun 2024 adalah kesebelas tertinggi dalam negara.

Keseluruhan ahli persatuan nelayan di Kelantan adalah sebanyak 3,718 orang dengan sejumlah 1,400 orang menerima elaun sara hidup dan 965 buah vessel menerima subsidi minyak termasuk 513 vessel bagi petrol dan bagi diesel 365 vessel (Zon A), 17 vessel (Zon B/ dan 80 vessel (Zon C).

Terdapat lebih kurang 70 vessel C2 yang beroperasi di Pelabuhan Perikanan LKIM Tok Bali (PPLTB) yang merupakan satu fasiliti pendaratan ikan mega bagi mengangkat kekuatan sektor perikanan Kelantan.

Bagi memberikan keselesaan kepada taraf hidup sosio nelayan Kelantan, sebanyak 14 rumah dibina baharu dan 103 rumah dibaikpulih di bawah Program Khas Perumahan Nelayan (2012-2025), di mana bagi tahun ini (2025), 3 rumah bina baharu dan 5 rumah baik pulih milik nelayan di bawah selian PNK Tumpat dilaksanakan.

Kepedulian LKIM dan kerajaan perpaduan berasaskan agenda Malaysia Madani kepada golongan nelayan terus disuburkan.


FAIZ FADZIL ialah pengerusi LKIM dan setiausaha agung AMANAH.