Inilah sebab kemerdekaan wajib dipelihara

Kemerdekaan wajib dipelihara untuk memastikan keterjaminan rakyat, kata Setiausaha Agung AMANAH Faiz Fadzil di dalam amanat hari ulangtahun kemerdekaan.

“Walaupun terdapat usaha sesetengah pihak yang terdesak untuk merobek perpaduan dan merobohkan kestabilan dengan menunggang isu perkauman, namun rakyat Malaysia harus memilih untuk mengekalkan perpaduan dan kestabilan.

“Fitnah dan pembohongan adalah musuh utama negara dan perlulah ditentang oleh rakyat Malaysia, jika tidak kemerdekaan yang kita nikmati ini boleh luntur.

“The price of freedom may be high, but never so costly as the loss of freedom” (Ronald Reagan).

“Kemerdekaan adalah satu kebanggaan, kebebasan adalah satu warisan dan perpaduan adalah satu kekuatan.”

Selaras dengan itu pelaburan luar dicari dan pembangunan dijalankan untuk segenap lapisan masyarakat.

“Pembangunan negara yang mampan akan menjamin kesejahteraan hudup rakyat. Malaysia madani yang sedang dibina telah meletakkan Malaysia di landasan yang betul dengan pemulihan ekonomi menepati halatuju yang tepat.

“Data menunjukkan bahawa inflasi terendah dalam 51 bulan pada kadar 1.2% untuk bulan Mei 2025. Kadar pengangguran pula menurun ke paras terendah dalam tempoh 10 tahun iaitu 3% pada bulan April 2025.

“Di samping itu, jumlah pelaburan diluluskan untuk suku pertama telah melonjak mencecah RM90 bilion, di mana lebih RM60 bilion adalah daripada pelabur asing.

“Malaysia juga adalah satu-satunya negara yang melonjak 11 tangga dalam World Competitiveness Ranking 2025 dan mencapai kedudukan ke-23, iaitu prestasi terbaik sejak tahun 2020.

“Dengan kekuatan ekonomi yang dibina hari ini membolehkan pelbagai manfaat untuk rakyat diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim termasuk bantuan tunai, projek perumahan mampu milik, penerusan subsidi dan pengurangan bil elektrik. Inilah nikmat sebuah negara yang merdeka.