RUU Pekerja Gig 2025 Hadiah Bermakna Sempena Hari Kebangsaan Ke-68 – Steven Sim

FOTO BERITA: Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Menyambut Hari Kebangsaan bersama wakil pekerja GIG di Putrajaya. 31hb Ogos 2025 Ahad (Gambar: UKK KESUMA)

Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Putrajaya menjadi lebih bermakna apabila Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong, menyifatkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 sebagai hadiah istimewa buat semua pekerja gig di Malaysia. Seawal jam 6.30 pagi, sebelum acara rasmi dan perbarisan bermula, YB Steven Sim meluangkan masa beramah mesra bersama pasukan e-hailing dan p-hailing yang turut mengambil bahagian dalam perbarisan Hari Kebangsaan. “Bagi saya, Hari Kebangsaan tahun ini begitu istimewa kerana kita meraikannya dengan satu hadiah bermakna untuk semua pekerja gig, iaitu kelulusan RUU Pekerja Gig 2025,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para penghantar atas sokongan padu terhadap RUU tersebut yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Ogos lalu. Menurutnya, RUU berkenaan bakal memberi perlindungan menyeluruh kepada pekerja gig termasuk dari aspek kebajikan, keselamatan sosial serta hak mereka sebagai tenaga kerja penting dalam ekonomi negara.

YB Steven Sim juga mengucapkan selamat dan terima kasih kepada semua penghantar yang tampil sebagai sebahagian daripada Kontinjen Kluster Ekonomi, Telekomunikasi dan Inovasi Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Sumber Manusia (KASUMA Untuk Rakyat) dalam perarakan kali ini. Sepanjang acara, beliau turut berdiri memberikan penghormatan apabila kontinjen penghantar melintasi pentas utama, tanda sokongan dan pengiktirafan terhadap sumbangan mereka.

RUU Pekerja Gig 2025 kini menunggu giliran untuk dibentangkan di Dewan Negara pada sesi ini. Jika diluluskan, ia akan diwartakan dan dikuatkuasakan, sekali gus menandakan pengakhiran era pekerja gig tanpa perlindungan dan membuka lembaran baharu dalam landskap tenaga kerja negara.