Ini bahana mendekati sultan

Wanita Melayu yang cuba mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika sambutan Hari Kemerdekaan peringkat Perak semalam telah direman selama tiga hari.

Perintah reman ke atas wanita berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Wardah Nabilah Abd Wahab di IPD Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tempoh reman terhadap wanita itu diperoleh bermula pada Isnin sehingga Rabu ini.

“Permohonan reman ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah,” katanya.

Suspek tersebut telah berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat ketika lagu kebesaran Perak dimainkan.

Suspek mempunyai rekod dadah lampau dan rekod psikiatri yang kini berada di bawah pengawasan pakar.