Fitnah Konon Mengayakan Elit, SARA RM100 Sebenarnya Merakyatkan Ekonomi
A ZAHID
Setiap kali kerajaan melancarkan bantuan bersasar, akan ada suara yang mempertikaikan niatnya. Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 menerusi MyKasih juga tidak terkecuali.
Ada yang mendakwa kononnya bantuan ini hanya menguntungkan pasar raya besar dan mengkayakan lagi peniaga elit. Malah, ada juga yang mencadangkan supaya wang tunai dimasukkan terus ke akaun penerima agar mereka bebas berbelanja di mana-mana, termasuk kepada peniaga kecil atau penjaja tepi jalan.
Kritikan ini kedengaran logik pada pandangan pertama, namun hakikatnya jauh lebih kompleks. Kenapa MyKasih hanya boleh ditebus di rangkaian peruncit besar? Jawapannya mudah iaitu soal modal pusingan.
Setiap kali penerima membeli barang menggunakan MyKasih, pasar raya perlu terlebih dahulu menggunakan modal sendiri untuk menyediakan stok. Hanya selepas beberapa minggu atau bulan barulah kerajaan membuat pembayaran balik.
Peniaga kecil di pasar malam atau warung tidak mungkin mampu menanggung tempoh tunggu sehingga 60 hari untuk mendapatkan semula wang mereka. Sekiranya sistem ini dibuka tanpa syarat, akhirnya peniaga kecil yang akan lebih terbeban.
Ada juga yang bertanya, mengapa tidak diberi tunai sahaja? Jawapannya, kawalan. Pengalaman lalu menunjukkan bantuan tunai sering digunakan untuk tujuan yang tidak membawa manfaat seperti membeli rokok, vape, bahkan arak. Bantuan sepatutnya meringankan kos sara hidup, bukan menambah beban kesihatan.
Selain itu, pemberian tunai berisiko mengalir keluar ke platform asing seperti Shopee atau TikTok Shop yang dimiliki syarikat luar negara. Demi mencari harga murah, ramai pengguna tanpa sedar menguntungkan peniaga luar berbanding merancakkan ekonomi domestik.
Dengan kawalan jenis barang dan lokasi perbelanjaan, kerajaan memastikan wang bantuan beredar dalam ekonomi tempatan, khususnya sektor barangan asas. Benar, bantuan ini tidak sempurna, tetapi niatnya jelas untuk memastikan rakyat dapat membeli makanan dan keperluan penting, sambil mengekalkan aliran dana dalam negara.
Maka, dakwaan kononnya SARA RM100 hanya mengayakan “orang besar” sebenarnya tersasar. Kadang-kadang, keputusan yang nampak membataskan itu sebenarnya dibuat demi menjamin keberkesanan dan keadilan jangka panjang.