RM500,000 Dana Antarabangsa KBS buka laluan belia Malaysia ke program global – Adam Adli

FOTO BERITA: Majlis Sesi Penyerahan Mock Cheque kepada penerima Dana Antrabangsa Belia KBS 2025 (IYF@KBS) Siri 2 oleh YB Adam Adli, Timbalan Menteri Beliadan Sukan di Lobi Menara KBS, Presint 4, Putrajaya. 2hb September 2025 (Selasa)

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli, hari ini menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada 23 penerima Dana Antarabangsa Belia KBS (IYF@KBS) Jendela Kedua, dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Menara KBS, Putrajaya.

Beliau berkata, inisiatif ini adalah bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan suara, bakat dan kepimpinan belia Malaysia diiktiraf di peringkat global.

“IYF@KBS bukan sekadar dana, ia adalah jendela peluang untuk membina jaringan, mengasah advokasi serta mengukuhkan daya cipta dan keyakinan belia Malaysia seiring aspirasi Dasar Belia Malaysia,” jelas beliau.

Dana berjumlah RM500,000 ini mula diperkenalkan pada April 2025. Bagi Jendela Pertama, seramai 8 orang telah menerima manfaat dana tersebut. Hari ini pula, sebanyak 23 penerima Jendela Kedua diraikan, di mana mereka berpeluang menyertai program berprestij dunia termasuk UN High-Level Plenary Meeting, UN Climate Change Conference (COP30), Local Conference of Youth (LCOY) 2025 dan World Summit on Social Development.

Lebih membanggakan, beberapa penerima tidak hanya hadir sebagai peserta, malah diberi peluang membentangkan kertas kerja di peringkat antarabangsa – satu pengiktirafan terhadap keupayaan belia Malaysia.

Melihat kejayaan ini, KBS melalui Bahagian Hubungan Antarabangsa (BHA) telah membuka Jendela Ketiga bermula 16 Ogos hingga 7 September 2025 bagi memberi lebih banyak ruang penyertaan kepada belia untuk program antarabangsa yang berlangsung antara Oktober hingga Disember 2025.

YB Adam Adli turut menegaskan bahawa para penerima dana merupakan “duta kecil Malaysia” yang membawa wajah, suara dan semangat negara ke persada dunia.

“Saya yakin pengalaman ini akan menjadi suluh yang menghidupkan lagi semangat belia lain untuk terus melakar kejayaan dan mengangkat nama Malaysia. Gunakan peluang ini bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai belia Malaysia,” katanya.

Beliau menutup ucapannya dengan menyeru penerima agar berani melangkah dan meneguhkan semangat, demi memastikan bakti mereka akan terus memberi manfaat kepada tanah air tercinta.