Rupanya gaji dan elaun MP Indonesia 27 kali ganda lebih tinggi dari gaji minimum rakyat

Mengejutkan apabila anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Indonesia menerima gaji sekitar 104 juta rupiah sebulan iaitu kira-kira RM30,000.

Lapor Kompas.com, jumlah gaji anggota DPR itu bersamaan 27 kali ganda purata Gaji Minimum Mengikut Wilayah/Negeri (UMR) nasional iaitu 3.7 juta rupiah.

“Perbandingan ini tampak cukup kontras jika dibandingkan dengan negara lain.

“Sebagai contoh, di Amerika Syarikat (AS) gaji anggota parlimen hanya 3.6 kali ganda daripada UMR, di Jerman 2.4 kali, manakala di Singapura 3.7 kali,” menurut Kompas.com.

Menerusi perbandingan gaji ahli parlimen disediakan portal berita arus perdana paling berpengaruh di Indonesia itu, turut tertera gaji ahli parlimen di negara ini.

Dinyatakan, gaji ahli parlimen di Malaysia mencecah 67.2 juta rupiah (kira-kira RM 17,353) iaitu 10.5 kali ganda daripada kadar gaji minimum 6.4 juta rupiah (kira-kira RM 1,653).

Indonesia diasak gelombang rusuhan besar-besaran di bandar-bandar utama republik itu membantah bayaran tambahan dan elaun perumahan untuk Ahli Parlimen.

Rakyat negara Pancasila itu berang apabila Ahli Parlimen mereka mendapat elaun perumahan bulanan baharu sebanyak 50 juta rupiah iaitu hampir 10 kali ganda gaji minimum di ibu kota dan bandar terbesar Indonesia, Jakarta.

Dalam masa sama, rakyat Indonesia juga marah dengan langkah-langkah pemotongan bajet secara besar-besaran oleh kerajaan yang dilihat menjejaskan pendidikan, kesihatan serta perkhidmatan awam.

BACA JUGA Lagi berita baik, Baucar Perlindungan Tenang 3.0 kini boleh dimanfaat