Ugutan terhadap TYT Sabah: Polis terima tiga laporan di himpunan solidariti ‘Justice For Zara’
Solidariti menuntut keadilan bagi Zara Qairina tercalar apabila seorang wanita mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dengan mengancam untuk membakarnya.
Susulan itu, polis menerima tiga laporan berkaitan Himpunan Solidariti Justice for Zara di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata semua laporan itu diterima semalam berhubung seorang individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah.
“Kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan sudah dibuka.
“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya, lapor Bernama.
Menurutnya, susulan itu polis sedang mengesan seorang wanita dan beberapa saksi lain bagi membantu siasatan.
“Siasatan akan dijalankan secara telus dan mengikut prosedur biasa, kita mahu ambil keterangan,” jelasnya.
Terdahulu, tular di media sosial klip video ucapan dan laungan berunsur hasutan dipercayai berlaku pada perhimpunan berkenaan.
BACA JUGA Tuduh wanita Cina: DAPSY Negeri Sembilan lapor polis