Harga beras putih tempatan kekal RM2.60 sekilogram – KPKM pantau selepas penamatan subsidi

FOTO BERITA: Sesi Lawatan Kerja YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ke Projek Tanaman Padi Skim Sungai Buluh, Jelebu, Negeri Sembilan. 2hb September 2025 (Selasa)

YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), hari ini mengadakan lawatan kerja dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan produktiviti hasil padi negeri. Jelebu digariskan dalam visi pembangunan daerah sebagai “Daerah Biodiversiti: Daerah Mampan, Berdaya Maju dan Sejahtera” menjelang 2035 melalui PLANMalaysia, dengan sektor pertanian menjadi elemen ketiga pembangunan, meliputi 40.50% daripada keseluruhan keluasan daerah.

Bagi Skim Padi Sungai Buluh, seramai 107 peserta terlibat dengan 201.90 hektar sawah berdaftar, manakala 194.26 hektar telah ditanam. Pada tahun 2024, skim ini mencatatkan hasil purata 4,149 kilogram per hektar. Untuk tahun 2025, kawasan berkenaan menerima suntikan dana berjumlah RM1 juta di bawah Program Insentif Pelestarian Sawah Nogori, bagi menjamin pengeluaran padi terus mampan dan berdaya saing.

Secara keseluruhan, Negeri Sembilan menerima peruntukan RM19.03 juta daripada KPKM pada tahun 2025 yang disalurkan melalui kerajaan negeri serta jabatan dan agensi berkaitan. Dana tersebut meliputi tanaman RM14.08 juta, ternakan RM3.35 juta, agropelancongan RM1 juta dan pembangunan Kapasiti Usahawan RM600,000. Peruntukan ini dijangka memberi impak besar kepada pembangunan pertanian negeri, sejajar dengan matlamat meningkatkan keterjaminan makanan negara melalui pengukuhan rantaian bekalan domestik.

Sementara itu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan harga beras putih tempatan (BPT) kekal stabil pada paras RM2.60 sekilogram biarpun subsidi bekalan itu ditamatkan pada Ahad lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini kementerian tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga beras di pasaran. “Kerajaan masih menyalurkan kira-kira RM150 juta bagi mengekalkan harga BPT pada RM2.60 sekilogram. Subsidi ini diteruskan sementara sehingga kajian semula dibuat.

“KPKM juga akan terus mendapatkan laporan berkala mengenai perkembangan harga dan bekalan beras putih tempatan untuk dikemukakan dalam setiap mesyuarat Kabinet,” katanya. Turut hadir, Speaker DUN Negeri Sembilan Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi, Ketua Pengarah Pertanian.

Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada beras import kerana ia berkait rapat dengan aspek keterjaminan makanan negara. “Kita pernah berdepan masalah apabila India menghentikan eksport beras putih, menyebabkan bekalan dalam negara terjejas. Begitu juga dengan faktor geopolitik seperti perang Rusia-Ukraine yang turut mempengaruhi harga makanan asas,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan kini memberi tumpuan untuk meningkatkan kadar sara diri (SSR) pengeluaran beras negara kepada 90 peratus, berbanding paras semasa sekitar 56 peratus. Beliau berkata, SSR negara pernah mencapai kemuncak 71 peratus, namun berkurangan selepas lebih 20,000 hektar sawah padi hilang akibat pembangunan perumahan serta tanah terbiar.

“Bagi mencapai sasaran ini, kerajaan akan melaksanakan dua strategi utama iaitu meningkatkan hasil sedia ada melalui projek penanaman sawah padi berskala besar dan membangunkan semula sawah terbiar.

“Kita juga lihat semakin ramai anak muda berminat mengusahakan sawah secara berskala besar, dan ini satu perkembangan positif untuk masa depan pengeluaran beras negara,” katanya.