Ini arahan kepada KDN selepas insiden cubaan serangan terhadap Sultan Perak

Kementerian Dalam Negeri (KDN) diarah meneliti dan meningkatkan aspek keselamatan terutama dalam kalangan Raja-raja bagi mengelak kejadian cubaan menyerang Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada 31 Ogos lalu, berulang.

Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, isu keselamatan itu dibangkitkan pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

“Ada juga dibangkitkan mengenai aspek keselamatan termasuk apa yang berlaku di Ipoh, Perak (pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Perak).

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta untuk meneliti aspek mempertingkatkan keselamatan terutama bagi raja-raja supaya tidak berlaku apa-apa keadaan yang tidak diingini,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Semasa acara sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, jam 8.20 pagi Ahad lalu, seorang wanita tempatan berusia 41 tahun mendekati Sultan Perak dari bahagian tepi pentas.

Suspek kemudian dikenal pasti mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain turut mempunyai rekod rawatan psikiatri dan sedang berada di bawah pengawasan pakar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.

BACA JUGA SARA RM100: Siapa disaran sedekah kepada keluarga yang memerlukan?