KPDN bangunkan sistem kawalan baharu bendung ketirisan minyak masak bersubsidi

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang membangunkan satu sistem kawalan bagi menangani isu ketirisan minyak masak paket bersubsidi termasuk pembelian dalam kalangan warga asing.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata ketika ini sistem itu masih sedang diuji sebelum dilaksanakan di seluruh negara.

“Kita sedar apa yang dikhuatiri adalah warga asing mendapat akses kepada barang kawalan seperti minyak masak, gula, petrol dan banyak lagi.

“Setiap satu barang kawalan ini ada masalah unik masing-masing, tetapi setakat ini bekalan gula mencukupi, jadi ia tak terlalu menjadi isu.

“Namun, untuk minyak masak paket, ia jadi isu kepada rakyat Malaysia kerana mereka susah nak akses apabila warga asing yang membelinya.

“Jadi, apa KPDN sedang lakukan adalah membangunkan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) merangkumi semua rantaian termasuk pemborong, peruncit hingga kepada pengguna,” katanya menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mewakili KPDN di Dewan Negara, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai aplikasi itu, kata Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, pengguna mesti mengimbas kod QR dan hanya dibenar membuat pembelian apabila disahkan warganegara.

Jelasnya, aplikasi sama akan turut digunakan bagi pembelian petrol.

“Insya-Allah tak lama lagi bagi pembelian RON95, akan guna pendekatan sama iaitu mesti ada semakan kad pengenalan di stesen minyak.

“Ini perancangan kita akan datang dalam usaha melindungi barang kawalan subsidi supaya tak mengalir kepada warga asing dengan setiap satu daripadanya (barang kawalan) ini ada strategi (pelaksanaan) berbeza,” kata Fuziah lagi.

BACA JUGA Fahmi jawab dakwaan berunsur perkauman konon SARA boleh ditebus di premis tertentu