Lagi kes ‘Serambi Syabu’, kedai runcit rupanya transit dadah RM6.5 juta untuk sejuta orang

Polis berjaya mematahkan kegiatan sindiket pengedaran dadah di negeri Serambi Mekah yang bergiat aktif sejak Julai lalu.

Dalam operasi itu, polis merampas lebih 204 kilogram dadah bernilai RM6.5 juta di sebuah premis di Kampung Kasar, Pasir Mas, pada 25 Ogos lalu.

Serbuan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Kelantan selama tiga jam bermula jam 7 malam itu turut memberkas seorang pemilik kedai runcit.

Lelaki tempatan berusia 20-an dengan lima rekod jenayah lampau dan turut positif dadah jenis methamphetamine itu dipercayai menjadi ‘transporter’ sindiket terbabit.

Menerusi serbuan itu, polis turut merampas dua buah kenderaan dan wang dalam akaun sebanyak RM708.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam yang dijalankan hampir sebulan memandangkan kegiatan sindiket pengedaran dadah adalah licik.

“Jarak lokasi serbuan dengan kedai runcit milik suspek adalah beberapa kilometer.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan semak berdekatan premis berkenaan turut merampas tujuh guni yang mengandungi 196 bungkusan plastik bertulis ‘Jin Xian Tea’ dan ‘Number One’ berisi dadah jenis syabu.

“Jumlah anggaran berat keseluruhan dadah jenis syabu sebanyak 204.34 kg membabitkan nilai lebih RM6.5 juta,” jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen Kelantan,Kota Bharu hari ini.

Beliau turut memaklumkan bekalan dadah berkenaan dipercayai untuk dihantar ke Lembah Klang dan dadah yang dirampas mampu merosakkan seramai 1.02 juta orang yang menggunakannya.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket itu membawa bekalan tersebut dari Thailand menggunakan pangkalan haram Terusan di Rantau Panjang.

Ia kemudian dipunggah menggunakan kenderaan sebelum menyembunyikan bekalan itu di kawasan semak sementara menunggu ahli sindiket lain mengambilnya.

Hussein menambah pihaknya dalam proses untuk menyita premis kedai runcit milik suspek bagi menjalankan siasatan sama ada menjalankan perniagaan itu untuk mengaburi kegiatan dadah.

“Kita turut mengesan saki baki kumpulan sindiket berkenaan selain menyiasat secara menyeluruh rangkaian sindiket berkenaan termasuk di luar negara,” kata beliau lagi.

BACA JUGA KPDN bangunkan sistem kawalan baharu bendung ketirisan minyak masak bersubsidi