Malaysia terbukti bela nasib pekerja gig, rakyat Indonesia luah rasa iri
Oleh A. ZAHID
Tatkala rakyat Malaysia sibuk menyambut ulang tahun kemerdekaan baru-baru ini, ada satu hadiah istimewa yang lahir di Parlimen iaitu kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025.
Undang-undang ini, digerakkan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim, akhirnya memberi pengiktirafan rasmi kepada lebih 1.2 juta pekerja gig di negara ini.
Bukan sekadar perayaan simbolik, tetapi hadiah kemerdekaan yang benar-benar mengubah kehidupan golongan yang sekian lama terpinggir daripada perlindungan buruh.
Selama ini, rider makanan, pemandu e-hailing, penterjemah bebas, jurusolek dan ribuan lagi pekerja gig hanya dianggap sebagai “kontraktor bebas”.
Mereka bekerja keras meredah panas, hujan, malah risiko kemalangan, namun jika akaun digantung, pendapatan dipotong, atau dilayan sewenang-wenangnya oleh platform, mereka tiada tempat mengadu. Kini, dengan adanya RUU ini, semua itu berubah.
Ada saluran rasmi untuk menuntut keadilan, kadar upah ditentukan secara bersama melalui Majlis Konsultatif Tiga Pihak, dan pekerja gig akhirnya diiktiraf sebagai tenaga kerja yang sah.
Selangkah ke depan
Kontrasnya, lihatlah apa yang berlaku di Indonesia. Baru-baru ini, seorang rider Gojek bernama Affan Kurniawan maut dirempuh kenderaan polis ketika menyertai protes menuntut perlindungan hak.
Dia tidak menuntut kaya-raya, hanya keadilan dan maruah. Namun, jawapan yang diterima adalah keganasan.

Rakyat Indonesia sendiri meluahkan rasa cemburu apabila melihat Malaysia sudah selangkah ke depan dengan undang-undang khusus yang melindungi pekerja gig, sementara mereka terus berjuang di jalanan.
“Di Indonesia, pekerja gig (ojol) malah meninggal karena apparat,” kata margianta manakala anne_naychoirunay1972 menulis, “Semangat Malaysia dari Jakarta.”
Sementara itu, pinadumiatika menyifatkan rakyat Malaysia beruntung mempunyai pemimpin yang prihatin dengan nasib rakyat.
“Malaysia, kamu buat saya cemburu. Belum pernah rasa putus asa seperti sekarang sama negara sendiri,” ujarnya.
Bagi andreansyahdwpq pula, “Malaysia lagi flexing dengan common sense dan kepintaran mereka” manakala sa.trio8822 berkata, “Ini baru pemimpin negara yang melindungi rakyatnya, bukan berpakat dengan mafia kaya di sini.”
Kisah di Malaysia ini bukan sekadar teks undang-undang. Ia lahir daripada realiti apabila seorang anak muda bernama Mohamad yang pernah hanya mengayuh basikal demi menghantar makanan.
Kesungguhan dan pengorbanannya membuka mata Steven Sim bahawa ada ratusan ribu lagi anak muda bernasib serupa.
Dari titik itulah perjuangan bermula, dan akhirnya RUU ini menjadi kenyataan.
Ya, Malaysia masih banyak kekurangan. Tetapi dengan undang-undang seperti ini, jelas negara kita serius mengangkat maruah rakyat, terutama mereka yang berada di barisan hadapan ekonomi moden.
Saat jiran kita berjuang dengan air mata dan darah, kita di Malaysia wajar bersyukur kerana akhirnya pekerja gig bukan lagi bayang-bayang dalam statistik, tetapi insan yang dilindungi dengan undang-undang.
BACA JUGA Lagi kes ‘Serambi Syabu’, kedai runcit rupanya transit dadah RM6.5 juta untuk sejuta orang