Troli penuh ditinggal bersepah, SARA dedah perangai sebenar rakyat Malaysia
Oleh KHAIRUL AZRI
Ramai suka bangga kata kita di Malaysia masyarakat bertamadun. Katanya lebih tertib daripada orang lain, lebih sopan, tidak ada mob mentality, berbanding orang lain.
Benarkah begitu? Ambil contoh terbaru apabila sistem MySara tergendala, apa jadi?
Troli penuh barang ditinggal tengah lorong. Tak cukup dengan itu, telur pecah pun ada, macam nak buat “tanda protes” konon. Barang basah, barang kering semua bersepah tidak dipulangkan ke rak.
Padahal, perkara asas ini paling mudah. Kau ambil, kau letak balik. Tak sampai 10 minit pun.
Namun, majoriti pilih jalan malas. Samalah macam isu troli ujian sivik paling mudah dalam hidup.
Teori Shopping Cart kata:
▪︎ Pulangkan troli, tiada siapa puji.
▪︎ Tinggalkan troli, tiada siapa saman.
▪︎ Ambil masa tak sampai satu minit.

Kalau benda sekecil ini pun kita gagal, jangan mimpilah nak cakap pasal negara maju, sistem adil, atau pemimpin berintegriti.
Di sekolah berbelas tahun belajar Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik tapi semasa diuji, semua teori terjun longkang.
Yang tinggal cuma perangai: “bukan kerja aku, bukan tanggungjawab aku.”
Troli dibiarkan, telur dibiarkan pecah, barang ditinggalkan merata. Itulah wajah sebenar masyarakat.
Kita nak pemimpin yang baik, tapi rakyat sendiri tak betul. Kita nak sistem yang kemas, tapi sikap kita sendiri longgar. Kita bising pasal integriti orang lain, tapi hal paling kecil pun kita gagal tunjukkan.
Jadi, kalau selepas ini kita masih sibuk salahkan pemimpin, salahkan sistem, salahkan negara, semasa kita pulas kunci kereta dan tekan pedal minyak, jangan lupa tengok dulu bayang sendiri di cermin pandang belakang.
Kadang-kadang, yang paling teruk bukan pemimpin atas tu.. tapi refleksi muka kita yang nak balik rumah dalam keadaan troli yang tidak dipulangkan di tempat asal.
Nota:
Pada 2 September iaitu hari ketiga pelaksanaan Penghargaan SARA, direkodkan sebanyak 1.1 juta transaksi bernilai RM75.3 juta, kadar berjaya meningkat 95% berbanding 79% pada 31 Ogos.
Secara keseluruhan, dalam tempoh tiga hari, rakyat telah berbelanja RM192.4 juta di lebih 7,300 premis.
Sistem MyKasih mengalami trafik puncak sehingga 2,000 transaksi seminit, hampir empat kali ganda daripada kapasiti April lalu.
Tahniah MADANI.
BACA JUGA SARA RM100: Siapa disaran sedekah kepada keluarga yang memerlukan?