Jangan cakap secara umum, ini teguran Tok Mat kepada Ustaz Wadi Annuar

Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mesra dipanggil Tok Mat mempersoalkan kenyataan Ustaz Wadi Annuar berhubung pembatalan ceramah agama yang sepatutnya berlangsung di Masjid Sri Sendayan, 6 September ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menegur penceramah berkenaan yang tidak jelas atau tidak menyatakan dengan terperinci pihak yang membatalkan program ceramah agama terbabit.

“Jangan cakap secara umum kerana ia boleh menyebabkan banyak buruk sangka terhadap kepimpinan.

“Sepatutnya, cakap betul-betul kerana kita sebagai orang agama jangan kita bercakap yang boleh menimbulkan keraguan ataupun sampai menjadi fitnah kepada orang lain.

“Cakaplah siapa (pihak) yang batalkan. Selidik dulu atau tanya pihak masjid siapa yang batalkan, masjidkah atau pejabat agama Islam.

“Disebabkan bercakap secara umum, ia menyebabkan timbul macam-macam tohmahan sehingga saya tak ada kena mengena pun (terbabit),” kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 14 tahun bermula 2004 itu.

Sehubungan itu, Tok Mat menyeru agar hentikan kutukan terhadapnya memandangkan beliau tidak ada kena mengena dengan pembatalan ceramah Pengasas Akademi Darul Ilmi berkenaan.

“Walaupun dalam kawasan saya, tapi saya pun tak tahu masjid mana.

“Sebagai wakil rakyat kita tidak ada apa-apa kuasa terhadap pengurusan masjid ataupun syarahan agama di negeri ini.

“Berhentilah mengutuk saya kerana saya tak ada kena mengena pun.

“Perkara itu (pembatalan ceramah Ustaz Wadi Annuar) di luar pengetahuan saya. Apabila saya balik daripada Beijing (China), bising mengenai perkara ini,” katanya.

Mohamad berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Rembau (PPD), di Dewan PPD, hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan urusan berkaitan masjid adalah bidang kuasa kerajaan negeri di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

BACA JUGA 76,002 kandungan sudah dipadam, mungkinkah TikTok akan disekat?