SARA sudah cecah jualan RM106.1 juta, ini tiga rumusan penting bidas pembangkang

Pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada hari kelima berjalan lancar dengan jumlah jualan mencecah RM106.1 juta, melibatkan 1.7 juta penerima setakat 9.30 malam tadi.

Menerusi kenyataan, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99.5 peratus, selaras dengan prestasi yang dicatatkan semalam.

“Usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang empat hari lepas telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang dicapai pada hari ini,” menurut kenyataan MOF lagi.

Sejak pelaksanaan Penghargaan SARA pada 31 Ogos lalu, lebih 6.6 juta rakyat atau 30 peratus daripada jumlah penerima telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit SARA.

Mereka telah berbelanja sebanyak RM425.2 juta di seluruh negara hanya dengan menggunakan MyKad masing-masing.

MOF menjelaskan bahawa kredit RM100 Penghargaan SARA kekal sah hingga 31 Disember 2025 dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

Penghargaan SARA merupakan pemberian sekali beri sebanyak RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas yang diumumkan kerajaan sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Seramai 22 juta rakyat menerima manfaat inisiatif tersebut, melibatkan tambahan RM2 bilion.

Ini menjadikan peruntukan keseluruhan Sumbangan Tunai Rahman (STR) dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara.

Tiga rumusan ringkas berhubung rekod jutaan rakyat berbelanja dengan memanfaatkan Penghargaan SARA iaitu:

1) Permintaan tinggi pengguna

Jualan RM106.1 juta dalam tempoh hanya lima hari menunjukkan sistem SARA diterima baik oleh rakyat, termasuk pengguna yang aktif menebus barangan keperluan melalui platform tersebut.

2) Keberkesanan sistem

Rekod menggalakkan itu juga memberi petunjuk bahawa sistem teknikal dan logistik SARA berfungsi dengan baik, walaupun wujud keraguan sebelum pelaksanaan.

3) Penerimaan rakyat terhadap inisiatif kerajaan

Prestasi jualan menunjukkan bahawa rakyat melihat manfaat nyata daripada SARA, khususnya dalam memudahkan pembelian dan menebus barangan, sekaligus meningkatkan keyakinan terhadap program kerajaan.

BACA JUGA Jangan cakap secara umum, ini teguran Tok Mat kepada Ustaz Wadi Annuar