Subsidi bersasar RON95 kekal dilaksana akhir tahun ini

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan kerajaan kekal dengan perancangan melaksanakan subsidi petrol RON95 secara bersasar menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif itu akan menggunakan MyKad sebagai pengenalan utama bagi memastikan subsidi hanya dinikmati oleh golongan yang layak.

Beliau berkata, sistem pelaksanaan akan diumumkan apabila ia siap sepenuhnya.

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, penyasaran subsidi RON95 akan dilaksanakan sebelum akhir tahun menggunakan MyKad dan sistem yang ditetapkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Laporan Pasaran Hartanah Separuh Tahun Pertama 2025 di Putrajaya, hari ini.

Kerajaan memutuskan penggunaan MyKad berikutan keberkesanannya dalam mengagihkan bantuan tunai di bawah skim Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Pada masa ini, Kementerian Kewangan sedang membangunkan sistem bagi membolehkan MyKad digunakan sepenuhnya dalam pengurusan rasionalisasi subsidi.

BACA JUGA Amaran hujan lebat, ribut petir hingga 6 petang ini kecuali Melaka dan Johor